Sentimen positif naikkan ringgit hari pertama dagangan 2023

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada hari pertama dagangan 2023, berikutan pembukaan semula China. - Gambar hiasan
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada hari pertama dagangan 2023, berikutan pembukaan semula China. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS pada hari pertama dagangan 2023, berikutan pembukaan semula China dan jangkaan kenaikan kadar faedah yang kurang agresif di Amerika Syarikat (AS) meningkatkan sokongan belian, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan diniagakan pada 4.3965/4050 berbanding dolar AS daripada 4.3995/4095 pada Jumaat lepas.

Ringgit ditutup pada 2 Jan 2023 untuk menggantikan cuti Tahun Baharu yang jatuh pada Ahad.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, unit tempatan meningkat pagi ini berikutan aliran belian disebabkan pembukaan semula China yang terus membantu pertukaran asing (FX) Asia.

Walaupun ekonomi China boleh terus lemah dalam jangka pendek, pasaran dijangka melihat kemerosotan ini dengan menjangka lebih banyak dasar rangsangan.

"Ringgit dijangka menyaksikan minggu yang baik berikutan prospek lebih banyak sokongan untuk ekonomi China,” katanya kepada Bernama, sambil menambah ringgit dijangka diniagakan antara 4.38 dan 4.41 sepanjang minggu ini.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia, Bhd Firdaos Rosli berkata, berdasarkan Rizab Persekutuan (Fed) AS komited untuk meredakan pasaran buruh, senarai gaji bukan ladang (NFP) untuk Disember boleh menjadi pemangkin utama untuk hala tuju seterusnya.

"Jika bacaan kekal kukuh, ia akan mendorong bank pusat untuk mengambil tindakan memecahkan situasi pekerjaan yang terhad, memanjangkan pasaran menurun,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, langkah mengeluarkan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang terkini akan menarik perhatian berikutan pelabur mencari petunjuk mengenai pergerakan tekanan harga, selain kebimbangan mengenai kemelesetan berikutan kenaikan kadar yang agresif di seluruh dunia.

"Walaupun kenyataan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa bahawa satu pertiga daripada ekonomi dunia akan menghadapi kemelesetan pada tahun ini, Fed dijangka akan mengubah cara seawal suku kedua 2023.

"Oleh itu, kami menjangka ringgit akan diniagakan antara RM4.39 dan RM4.41 pada minggu ini,” katanya. - Bernama