Kebakaran Wisma Jakel: Kehadiran unit K9 bukan perkara luar biasa

Anggota JBPM, Assan John (kanan) dan rakan Jovesster Junil (dua, kiri) membawa anjing pengesan Unit K9 Sam dan Rusty semasa melakukan siasatan kebakaran di Wisma Jakel, hari ini. Foto Bernama
Anggota JBPM, Assan John (kanan) dan rakan Jovesster Junil (dua, kiri) membawa anjing pengesan Unit K9 Sam dan Rusty semasa melakukan siasatan kebakaran di Wisma Jakel, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kehadiran Unit Anjing Pengesan K9 (unit K9) bukanlah sesuatu perkara luar biasa dalam siasatan forensik kebakaran, malah ia merupakan satu prosedur yang diperlukan untuk menyiasat punca sesuatu insiden itu berlaku.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norizham Mohd Nurdin berkata, bagi setiap kes kebakaran yang melibatkan siasatan, unit K9 ini akan dipanggil kerana ia adalah satu daripada prosedur penyiasatan.

"Bukan setiap kebakaran itu, apabila kita panggil unit K9 akan ada unsur sengaja dibakar. Tidak. Ia adalah ketetapan kami untuk memastikan bahawa unit ini dipanggil untuk melihat kepada segala kemungkinan," katanya pada pemberita di lokasi kejadian iaitu Wisma Jakel, Seksyen 7 di sini hari ini.

Jelasnya lagi, dua ekor anjing dari baka English Springer Spaniel bernama Rusty dan Sam yang digerakkan hari ini memang mempunyai kepakaran dalam menyiasat kebakaran.

"Anjing-anjing ini ada fokus setiap kali operasi dan ia akan diturunkan secara pasangan. Seekor akan mencari unsur (punca) dan satu lagi untuk pengesahan. Ia akan membantu kami (mencari punca),” katanya.

"Dua anjing itu kini menyiasat dan fokus di tingkat satu yang dipercayai kebakaran bermula. Di samping itu, terdapat 50 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Kota Anggerik dan Ibu Pejabat Bomba Selangor turut bertugas hari ini," katanya.

Anjing pengesan Unit K9, Rusty yang digerakkan hari ini memang mempunyai kepakaran dalam menyiasat kebakaran. Foto Bernama
Anjing pengesan Unit K9, Rusty yang digerakkan hari ini memang mempunyai kepakaran dalam menyiasat kebakaran. Foto Bernama

Norizham berkata, pasangan anjing yang digerakkan hari ini bukanlah anjing yang sama digunakan dalam insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali sebelum ini kerana mereka mempunyai kepakaran yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, Norizham berkata, siasatan kebakaran tersebut dilakukan berdasarkan struktur bangunan, saksi dan video orang awam yang dimuat naik di media sosial.

Katanya, pihaknya akan turut merakamkan keterangan pemanggil yang melihat kedudukan awal api semasa kebakaran itu untuk membantu siasatan.

Ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan kebakaran disebabkan litar pintas, Norizham menegaskan sebarang punca hanya diketahui selepas ujian makmal dilakukan iaitu selepas proses siasatan di lokasi kejadian selesai. - Bernama