Jurulatih mahu Abdul Latif 'terbang tinggi' di Paris, Hangzhou

Abdul Latif
Abdul Latif
A
A
A

KEJOHANAN Olahraga Para Dunia 2023 di Paris, Perancis dan Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China menjadi sandaran utama untuk jaguh lompat jauh para negara kategori T20 (kecacatan intelektual), Datuk Abdul Latif Romly meraih kejayaan membanggakan tahun ini.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, jurulatihnya, Shahrul Amri Suhaimi berkata, pihaknya telah merangka beberapa strategi untuk Abdul Latif termasuk menjalani latihan luar di Langkawi, Kedah, bulan ini serta Montreuil di Paris pada Jun menjelang kejohanan dunia di Stadium Charlety dari 8 hingga 17 Julai depan.

Ada dua temasya yang kami sasarkan untuk Abdul Latif rangkul emas iaitu pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 dan Sukan Para Asia 2022 dari 22-28 Okt ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, latihan insentif di Paris itu sangat penting bagi Abdul Latif dalam usaha merebut slot seterusnya mempertahankan pingat emas Sukan Paralimpik pada edisi 2024 yang dijadual berlangsung di bandar raya sama bermula 28 Ogos hingga 8 Sept, 2024.

Katanya, atlet dari Perlis itu juga tidak boleh memandang ringan terhadap keupayaan dua pencabar utamanya iaitu dua pemenang pingat Sukan Paralimpik 2020, Athanasios Prodromou dari Greece (perak) atlet Australia, Nicholas Hum (gangsa), yang mampu menggugat kedudukannya di kejohanan dunia kelak.

Dalam pada itu, Shahrul Amri berkata, beliau enggan meletakkan tekanan kepada anak buahnya jika terpilih untuk bersaing bersama atlet normal pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, dari 5 hingga 17 Mei ini.

"Sekiranya berlaku, ia bakal menjadi temasya Sukan SEA kali kedua beliau sertai selepas beraksi buat kali pertama di Kuala Lumpur 2017 yang beliau mengalami cirit birit sekali gus mengakibatkannya tidak dapat mempamerkan lompatan baik,” katanya.

Abdul Latif, yang juga pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64 meter (m) di Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, sekadar melakukan lompatan terbaik sejauh 7.34m dan menamatkan saingan di tempat ketujuh daripada 11 atlet pada Sukan SEA 2017. - Bernama

Artikel Berkaitan: