Rasuah rencatkan pembangunan sukan

Dr Pekan Ramli
Dr Pekan Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Isu rasuah yang berlaku dalam industri sukan boleh merencatkan pembangunan atlet negara sekiranya masalah tersebut tidak dikenalpasti lebih awal dan dibanteras sepenuhnya.

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, tidak dinafikan sukar untuk membanteras sepenuhnya gejala itu kerana ia melibatkan 'easy money' dan banyak lagi faktor tarikannya.

Menurutnya, antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan mengurangkan pelbagai faktor tarikan daripada terjebak gejala ini.

"Contohnya, jangan cetuskan isu seperti gaji tertunggak berbulan-bulan sehingga pemain berputus asa dan mencari jalan singkat sepertimana yang berlaku kepada beberapa pasukan sekarang ini.

"Selain itu,cuba kenal pasti lebih awal kes rasuah dan jika masih ada yang terbabit secara syak wasangka atau sebaliknya, jatuhkan hukuman yang berat agar menjadi pengajaran berguna kepada pasukan sebelum menjadi barah," jelasnya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung Mahkamah Tinggi di Seremban pada Jumaat membebaskan sabitan bersalah terhadap seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan dan seorang bekas pemain kelab tempatan daripada tuduhan menawarkan rasuah berjumlah RM20,000 kepada penjaga gawang dan pemain kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA), lima tahun lalu.

Tambah Pekan, negara akan kehilangan ramai pemain berbakat sekali gus memberi kesan kepada ranking di peringkat antarabangsa jika rasuah berterusan.

Beliau memberitahu, dikhuatiri juga penaja akan menarik diri kerana tidak mahu imej mereka menjadi negatif selepas dikaitkan sebagai penyumbang kepada ahli sukan yang terbabit dengan rasuah.

Artikel Berkaitan:

"Sudah pastilah ia memberi kesan yang sangat mendalam kepada industri sukan tanpa mengira apa jenis sukan jika ia berterusan selain peminat akan hilang kepercayaan dan merasa tertipu serta tidak mahu lagi memberikan sokongan.

"Ahli sukan negara yang terbabit juga akan dipandang negatif oleh masyarakat, " ujarnya.