Malaysia bukan tempat pemimpin gondol kekayaan - Anwar

Anwar menyampaikan amanat tahun baharu semasa menghadiri program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra pada Sabtu. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan amanat tahun baharu semasa menghadiri program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia bukan tempat untuk seseorang pemimpin negara menggondol kekayaan bagi kepentingan diri sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya individu yang telah dipilih untuk mentadbir negara perlulah berkhidmat bagi menjamin kebajikan rakyat.

Menurutnya, kebajikan itu adalah dari segi peluang pekerjaan selain mencatat pertumbuhan negara dan akhirnya memberi kesan positif kepada rakyat.

“Pendekatan juga berbeza, kita sudah dengar lama tentang anjakan paradigma, tetapi kadang-kadang slogan ini bunyinya memukau, tetapi tidak diterjemahkan dalam bentuk amal.

“Jadi, sebab itu kita harus teliti apa maksud kita membuat anjakan perubahan dari cara yang lama. Ini adalah bagi saya sangat kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan dalam majlis Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra, Putrajaya pada Sabtu.

Tambah beliau, pembangunan mega boleh dilakukan, namun perlu dititikberatkan juga yang perihal rakyat.

“Kalau guna slogan anjakan terutama dalam pembangunan, apakah kita harus izinkan pembangunan dengan gedung raksasa, projek mega dan semua kemewahan tetapi tidak mempedulikan nasib rakyat sekarang?

Artikel Berkaitan:

“Kita nak bangunkan negara dengan industri, projek-projek, landasan kereta api dan pelbagai, ini satu kemestian.

“Tetapi janganlah dalam keadaan yang sama, robohkan manusia di dalamnya kerana habuan keuntungan bagi syarikat besar itu melimpah, namun upah pada pekerja terlalu rendah. Tidak setimpal keuntungan yang mereka peroleh.

“Maka elok guna pendekatan paradigma menetapkan bahawa keadilan adalah bagi semua rakyat. Kita akan terus dengan pembangunan, tetapi jangan remeh dan abaikan nasib dan kedudukan rakyat di bawah,” katanya.

Selain itu, beliau turut berazam untuk mengembalikan dana negara yang ‘dipunggah’ oleh pemimpin terdahulu dipulangkan semula kepada rakyat.

Tambah beliau, kerajaan pimpinannya akan bertegas untuk menamatkan amalan yang menggunakan kepimpinan politik dan kedudukan dalam kerajaan sebagai kesempatan untuk memunggah kekayaan.

“Saya nak nasihat bahawa kerajaan ini akan memastikan sekurang-kurangnya sebahagian daripada dana yang dipunggah itu dipulangkan segera kepada rakyat.

“Ia bukan jumlah yang kecil, jika ada kesan peribadi kepada saya, saya akan maafkan. Tapi kalau berterusan, tentulah saya akan ambil tindakan,” katanya.