'Perutusan dari masjid untuk seluruh rakyat'

Anwar (tiga dari kanan) mengaminkan bacaan doa bersama jemaah yang lain semasa menghadiri program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra pada Sabtu. - Foto Bernama
Anwar (tiga dari kanan) mengaminkan bacaan doa bersama jemaah yang lain semasa menghadiri program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan biarpun perutusan tahun baharu 2023 dibuat di masjid, ia tidak bermaksud hanya memberi peringatan kepada umat Islam sahaja.

Menurut beliau, sebaliknya perutusan itu juga ditujukan kepada masyarakat bukan Islam di negara ini.

Jelasnya, negara ketika ini berdepan dengan isu perkauman sempit dan fahaman agama yang menghukum tanpa berlandaskan fakta.

"Saya tidak perlu memohon maaf kerana berbicara satu mesej untuk negara dari masjid.

"Mesej ini adalah kepada orang Islam dan bukan Islam. Kita mahu ada peningkatan dalam fahaman agama di kalangan Islam dan bukan Islam.

"Jika tidak bibit Islamofobia yang tertaman di zaman penjajah itu mungkin mempengaruhi dan mengelirukan kita, kita harus bezakan dengan usaha untuk meremehkan agama dan satu pihak menjadikan agama itu sebagai faktor kasih sayang kearah kebaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan dalam majlis Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra, Putrajaya pada Sabtu.

Sebelum ini, beliau yang lengkap berbaju Melayu berwarna krim berserta samping dilihat tiba di di sini pada 6.21 petang.

Artikel Berkaitan:

Hadir mengiringi beliau adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Juga kelihatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.

Program pengisian malam tahun baharu 2023 itu bermula jam 6.30 petang dengan aktiviti jamuan makan malam diikuti solat Maghrib, solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat pada jam 7.15 malam.

Dianggarkan lebih dari 1,000 pengunjung yang hadir di masjid ini bagi mengikuti majlis munajat tersebut.