WHO gesa China kongsi data Covid-19

Ibu Pejabat WHO di Geneva, Switzerland. - Foto AFP
Ibu Pejabat WHO di Geneva, Switzerland. - Foto AFP
A
A
A

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) yang bertemu dengan pegawai China pada Jumaat dan membincangkan mengenai lonjakan kes Covid-19, menggesa Beijing berkongsi data masa sebenar supaya negara lain boleh bertindak balas secara berkesan.

Lonjakan jangkitan di China telah mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia dan WHO mempersoalkan mengenai laporan data dari negara itu yang didapati merekodkan kes rendah walaupun hospital dibanjiri kemasukan ramai pesakit.

Perbincangan tersebut muncul selepas Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa Beijing supaya lebih bersikap terbuka mengenai situasi pandemik di negara dengan populasi penduduk tertinggi di dunia itu.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, mesyuarat berkenaan adalah untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi tersebut, selain menawarkan kepakaran WHO dan sokongan seterusnya.

“WHO sekali lagi meminta perkongsian tetap data khusus dan masa sebenar mengenai situasi epidemiologi termasuk data penjujukan genetik, data mengenai kesan penyakit termasuk kemasukan di hospital, unit rawatan rapi serta kematian,” katanya.

Selain itu, WHO meminta data mengenai vaksinasi yang dihantar dan status vaksinasi terutamanya mereka terdedah dan berumur lebih 60 tahun.

“WHO mengulangi kepentingan vaksinasi dan suntikan dos penggalak bagi melindungi penyakit teruk serta kematian bagi individu berisiko tinggi,” kata WHO yang berpangkalan di Geneva, Switzerland.

China pada bulan ini akan menamatkan kuarantin mandatori bagi pelancong tiba di negara itu, selain menarik balik sekatan ketat yang dilaksanakan sebelum ini. - AFP

Artikel Berkaitan: