Azam, harapan pemimpin kerajaan negeri pada 2023

Dari kiri: Wan Rosdy, Kon Yeow, dan Ahmad Samsuri
Dari kiri: Wan Rosdy, Kon Yeow, dan Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Memasuki ambang tahun baharu 2023, para pemimpin negeri menzahirkan keazaman dan harapan untuk membawa pentadbiran kerajaan negeri masing-masing ke tahap lebih baik.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow antaranya memberi komitmen bahawa kerajaan negeri di bawah pentadbirannya pada tahun hadapan akan terus memberi fokus kepada usaha pemulihan sektor yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Kon Yeow berkata, usaha pemulihan itu sejajar dengan tekad mempercepat pencapaian Visi Penang 2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

"Tahun 2022 bakal melabuhkan tirainya dengan pelbagai catatan suka duka termasuk perubahan besar dalam sejarah demokrasi negara dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

"Semoga lembaran baharu ini dimulakan dengan azam baharu demi negeri dan negara yang makmur, harmoni serta sejahtera,” katanya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam pada itu menyeru semua pihak memberikan yang terbaik sepanjang tahun hadapan sekali gus meletakkan negeri berkenaan pada kedudukan lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, Pahang harus makmur serba-serbi termasuk dalam aspek ekonomi dan kehidupan rakyat, yang mampu dicapai apabila semua pihak menolak sebarang cubaan yang boleh membawa kekeruhan termasuk dari segi politik.

"Setiap tahun baharu selalunya membawa cabaran baharu, namun sikap dan tindakan kita harus positif. Semoga segala ikhtiar awal bagi menyediakan payung sebelum hujan dengan merangka pelbagai perancangan pembangunan serta bantuan akan membantu kita mendepani 2023 dengan penuh bersedia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dengan berlabuhnya tirai 2022, ia menandakan penggal pentadbiran kerajaan negeri yang ke-14 bakal berakhir tidak lama lagi.

"Sejak diamanahkan mentadbir negeri ini pada 2018, hasrat utama saya adalah untuk memimpin perubahan minda dan politik rakyat bagi mencapai keharmonian muafakat politik dan penyatuan ummah.

"Biarpun penyatuan ini nampak perlahan, kita sama-sama pastikan agar sentiasa ada peningkatan dalam usaha ini,” katanya yang menyifatkan tugas tersebut sebagai satu perkara sukar dan penuh cabaran.

Menurutnya impian dan azamnya untuk negeri dan negara masih lagi sama seperti empat tahun lepas dan akan terus diusahakan. - Bernama