Empat ditahan jual dadah, miliki senjata api

Anbalagan menunjukkan senjata api yang berjaya dirampas dalam serbuan berkenaan.
Anbalagan menunjukkan senjata api yang berjaya dirampas dalam serbuan berkenaan.
A
A
A

SERDANG - Tindakan empat penagih dadah menjual bahan terlarang itu secara kecil-kecilan membawa padah apabila kesemua mereka ditahan dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, ketika serbuan, polis menemui dadah dan sepucuk pistol revolver jenis Smith & Wesson bersama tujuh butir peluru hidup.

"Pistol dan peluru ditemui di dalam poket seluar suspek pertama yang juga dalang kumpulan berkenaan manakala dadah seberat 33.55 gram (g) ditemui di atas meja biliknya.

"Modus operandi yang dijalankan suspek adalah menjalankan perniagaan dadah di sekitar kawasan daerah Serdang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini pada Jumaat.

Anbalagan berkata, suspek pertama seorang lelaki berusia 42 tahun yang berasal dari Selangor mempunyai pelbagai rekod kesalahan narkotik dan merupakan individu dikehendaki di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Suspek mengaku membeli pistol dan peluru berkenaan daripada seorang lelaki dipercayai dari negara jiran dengan harga RM800 pada 2019. Suspek memaklumkan pistol berkenaan dibeli untuk melindungi dirinya.

"Siasatan lanjut dan ujian balistik sedang dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya senjata api berkenaan terbabit dalam sebarang kes jenayah lain sebelum ini," jelasnya.

Beliau berkata, semakan terhadap suspek kedua dan ketiga yang merupakan lelaki tempatan berusia 60 dan 32 tahun mendapati kedua-duanya mempunyai beberapa rekod kesalahan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek keempat seorang wanita warga China berusia 27 tahun yang juga teman wanita suspek pertama didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 309A (2) ADB 1952," ujar beliau.