UniMAP gerak sukarelawan bantu mangsa banjir Pantai Timur

Mohd Fo'ad (kiri) bersama sukarelawan UniMAP membersihkan kawasan sekolah yang terjejas banjir di Terengganu.
Mohd Fo'ad (kiri) bersama sukarelawan UniMAP membersihkan kawasan sekolah yang terjejas banjir di Terengganu.
A
A
A

ARAU - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menggerakkan misi sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Ts Dr Zaliman Sauli berkata, misi Ops Kasih Banjir UniMAP ke Terengganu dan Kelantan itu disertai 60 sukarelawan bagi fasa satu yang bermula pada 21 Disember lalu di Kuala Krai dan Pasir Mas, Kelantan

Katanya, fasa kedua bermula 27 Disember membabitkan 100 sukarelawan ke empat buah sekolah di Terengganu.

"Misi diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniMAP Profesor Dr Mohd Fo’ad Sakdan yang juga Pengerusi Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (Maskum)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Zaliman (empat dari kanan) menyampaikan barangan keperluan asas kepada keluarga pelajar Kejuruteraan Bahan, Noorain Yasin (tiga dari kiri) di Kampung Alor Bakat Melor, Kelantan yang terjejas banjir baru-baru ini.
Zaliman (empat dari kanan) menyampaikan barangan keperluan asas kepada keluarga pelajar Kejuruteraan Bahan, Noorain Yasin (tiga dari kiri) di Kampung Alor Bakat Melor, Kelantan yang terjejas banjir baru-baru ini.

Menurutnya, sukarelawan yang menyertai misi berkenaan terdiri daripada pelajar kelab UniMAP Volunteer Club (UVoC), Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis), Business School Association (Besca) serta kelab/persatuan UniMAP yang lain.

"Selain kerja-kerja pembersihan UniMAP turut memberi sumbangan berupa wang tunai dan barangan asas kepada keluarga pelajar UniMAP serta masyarakat setempat yang terjejas menerusi Program Ziarah Kasih UniMAP," katanya.

Zaliman berkata, turut menyertai misi berkenaan ialah Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P), Profesor Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh; Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Dr Khairul Anwar Abdul Halim serta pegawai-pegawai P3P UniMAP.

Artikel Berkaitan:

"Bantuan ini membuktikan keprihatinan UniMAP bukan sahaja kepada warga UniMAP tetapi juga masyarakat setempat.

"UniMAP turut mengambil peluang menziarahi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Terengganu serta Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi menyampaikan pek barangan asas kepada pelajar kedua-dua universiti itu yang turut terjejas," katanya.

Zaliman menambah, Program Ziarah Kasih UniMAP turut menyantuni rumah keluarga pelajar-pelajar UniMAP di sekitar Terengganu dan Kelantan dengan menyampaikan sumbangan keperluan asas dan wang tunai RM200.