JKM siasat, sedia laporan terperinci kes kanak-kanak maut didera

Nancy - Foto Bernama
Nancy - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diarahkan untuk segera menyiasat dan menyediakan laporan terperinci berhubung kes kematian kanak-kanak lelaki yang dipercayai menjadi mangsa dera di Johor, Isnin lepas.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri menerusi satu kenyataan berkata, JKM akan menyediakan laporan dengan lebih terperinci berhubung kronologi, sejarah serta setiap perkembangan kes itu.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menjalankan siasatan terhadap kes ini dan saya memberikan jaminan bahawa KPWKM serta agensi di bawahnya akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan tersebut,” katanya.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilapor berkata, kanak-kanak berusia empat tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail di Johor sejak 23 Disember setelah dilaporkan pengsan di rumah rakan kakak kandungnya di Senggarang, Batu Pahat sebelum meninggal dunia, Isnin lepas.

Merujuk insiden itu, Nancy memaklumkan KPWKM akan meneroka segala kemungkinan untuk memperkemas faktor pencegahan, termasuklah seperti keperluan hukuman yang lebih tegas dan berat kepada pesalah kes dera.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan agar kes penderaan sebegitu tidak berulang lagi di samping pengajaran kepada ibu bapa atau penjaga yang cuai dalam memberi jagaan yang terbaik kepada kanak-kanak.

"Selain kecederaan fizikal, kes penderaan kanak-kanak boleh menyebabkan implikasi kesihatan mental yang berpanjangan seperti kemurungan, lebih-lebih lagi bagi mangsa kes yang tidak dilaporkan dan kekal tersembunyi,” katanya.

Nancy turut memaklumkan penilaian dasar semasa membabitkan kanak-kanak dan membawa penambahbaikan menyeluruh termasuklah dari segi aspek perlindungan, pemantauan serta pembangunan sosial kanak-kanak di negara ini adalah keutamaan beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyeru orang ramai yang mengetahui tentang penderaan kanak-kanak yang berlaku supaya tidak mengabaikannya dan memaklumkan kepada KPWKM melalui Talian Kasih di talian 15999 atau nombor WhatsApp 019-2615999 atau menghubungi pihak berkuasa berdekatan dengan segera.

"Bersamalah kita memainkan peranan dalam mencurahkan kasih sayang dan memberi perlindungan sewajarnya kepada kanak-kanak demi kesejahteraan keluarga, keharmonian masyarakat dan kemajuan negara,” katanya. - Bernama