Pasca banjir: Tiada kes penipuan dilapor - JPN

Ruslin bertanya khabar kakitangan JPN yang terjejas banjir ketika bencana itu dua minggu lalu di Pejabat JPN negeri Kelantan di Pasir Mas pada Jumaat.
Ruslin bertanya khabar kakitangan JPN yang terjejas banjir ketika bencana itu dua minggu lalu di Pejabat JPN negeri Kelantan di Pasir Mas pada Jumaat.
A
A
A

PASIR MAS - Tiada sebarang kes penipuan berkaitan proses gantian dokumen pengenalan diri dicatatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas negara berdepan bencana banjir Disember ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sehingga kini kira-kira 500 permohonan gantian termasuk kad pengenalan dan sijil lahir melibatkan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

Menurut beliau, setiap permohonan akan diteliti dan melalui siasatan termasuk pengecaman cap jari pemohon.

"Kita mempunyai satu sistem pengecaman cap jari dan semua rekod pemohon yang pernah berurusan di JPN ada dalam sistem ini.

"Dalam konteks ini juga kita sudah tahu kawasan yang dilanda banjir termasuk di Pantai Timur dan jika didapati ada penipuan, pemohon akan disiasat secara teliti.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 22 kakitangan JPN yang terjejas banjir di Pejabat JPN di sini pada Jumaat.

Ruslin menyampaikan sumbangan kepada kakitangan JPN yang terjejas banjir ketika bencana itu dua minggu lalu di Pejabat JPN negeri Kelantan di Pasir Mas pada Jumaat.
Ruslin menyampaikan sumbangan kepada kakitangan JPN yang terjejas banjir ketika bencana itu dua minggu lalu di Pejabat JPN negeri Kelantan di Pasir Mas pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN, Mohd Sanusi Wahab dan Pengarah JPN negeri Kelantan, Asrehan Ab Razak.

Artikel Berkaitan:

Ruslin memberitahu, jabatan itu akan menyelesaikan isu berkaitan kehilangan dokumen dalam tempoh seminggu lagi bagi memberi peluang kepada mangsa mengemas rumah.

Tambah beliau, kesemua mangsa banjir akan melalui proses penggantian pengenalan diri secara percuma dan tidak perlu melaporkan kehilangannya di balai polis.

Selain itu katanya, jumlah gantian dokumen melibatkan mangsa banjir juga berkurangan berikutan kesedaran terhadap bencana itu.

"Kebanyakan mangsa sudah bersedia dan membawa dokumen penting bersama mereka," katanya.

Sementara itu katanya, bantuan dan misi banjir melibatkan 41 kakitangan JPN di Kelantan dan Terengganu dapat meringankan beban mereka.