Tiga lelaki menyamar polis dicekup sebelum sempat menyamun

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun sebuah kedai runcit dan kedai makan di Brickfields di sini, semalam.

Ketua Polis Brickfields Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, ketiga-tiga suspek berumur 25 hingga 30 tahun terbabit ditahan di kondominium di Jalan Klang Lama dan Jalan Sultan Ismail di sini.

Menurutnya, dalam kejadian samun pada Sabtu dan Ahad lepas, suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sebelum membuat pemeriksaan lesen kedai dan dokumen pekerja.

“Suspek kemudian memeras ugut mangsa supaya menyerahkan wang serta barang berharga lain jika tidak mahu ditangkap.

"Dalam kejadian di kedai runcit, mangsa kerugian RM3,800 manakala mangsa kejadian di kedai makan mengalami kerugian kira-kira RM5,000 selain seunit komputer riba dan tiga unit telefon bimbit turut dilarikan suspek, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kesemua suspek kini direman lima hari sehingga 20 April dan polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan, menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Mohd Aznal Alawi di talian 016-8390236, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis yang berdekatan.- Bernama

Artikel Berkaitan: