Polis terima laporan kes ceroboh Menara Merdeka 118

Polis menyiasat pasangan warga Rusia yang didakwa menceroboh Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Polis menyiasat pasangan warga Rusia yang didakwa menceroboh Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menerima satu laporan daripada pihak pengurusan Menara Merdeka 118 untuk tindakan lanjut mengenai kes pencerobohan pasangan dari Rusia yang dipercayai memanjat menara terbabit.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, laporan itu diterima pihaknya pada Khamis.

"Laporan itu dibuat di Balai Polis Tun H S Lee oleh pihak Menara Merdeka 118.

"Polis akan jalankan siasatan untuk mengetahui sama ada kejadian terbabit berlaku atau tidak. Jika berlaku, kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, polis mengingatkan agar mana-mana individu tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang dan mengundang kegusaran awam.

Sementara itu, jurucakap PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd berkata, pihaknya menekankan bahawa pembangunan Menara Merdeka 118 masih berjalan dan keselamatan tetap menjadi keutamaan.

"Mana-mana penceroboh akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya mengikut undang-undang.

"Kami memberikan sokongan dan kerjasama penuh kami kepada pihak berkuasa mengenai perkara ini," jelasnya dalam kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini tular gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.