Peniaga didakwa culik ejen jualan kosmetik

Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Khamis.
Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Khamis.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Pasir Mas di sini pada Khamis, atas pertuduhan menculik ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim tahun lalu.

Tertuduh, Chek Norhafizzi Chek Nor, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, dekat Tumpat kira-kira jam 5.06 petang 13 September 2022.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar bagaimanapun memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas alasan kes itu serius.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Muhamad.

Sebelum itu, Mohd Firdaus meminta jaminan diberikan kepada tertuduh tetapi hakim menolak kerana risiko tertuduh untuk melarikan diri ke negara jiran adalah tinggi dan kemungkinan berlaku jenayah terhadap nyawa orang lain.

"Jenayah ini kemungkinan dirancang dan dilakukan secara berkumpulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Januari tahun depan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Dalam kejadian 13 September lalu, Rosnazirah berjaya ditemui semula selepas diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat dan cuba diseludup ke Laos.

Ejen jualan kosmetik itu dilarikan sekumpulan lelaki dengan menaiki Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui.

Kedudukan mangsa dapat dikesan berdasarkan maklumat yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum maklumat itu disalurkan kepada polis Thailand.

Kejadian berkenaan pernah tular di Malaysia dan Thailand.