Sumbangan JDT, TMJ selain bekal pemain kepada Harimau Malaya

Foto: Johor Southern Tigers
Foto: Johor Southern Tigers
A
A
A

PENYOKONG bola sepak Malaysia sememangnya pakar ‘soundbite’. Jika mereka tidak suka sesuatu pendapat, maka diulang-ulangnya soundbite tersebut sehingga berubah konotasinya.

Dalam kes Datuk K Rajagobal, ia adalah, “ranking (FIFA) tak penting.” Dalam kes Ahmad Fakri Saarani, ia adalah, “kalau bola tak nak masuk, tak masuk juga.”

Dalam isu TMJ mempertahankan tindakan 14 pemain JDT yang menolak panggilan skuad kebangsaan sempena Kejohanan Piala AFF, ia adalah, “pemain bukan mesin.”

Untuk mengubah konotasi ayat ‘pemain bukan mesin’, komitmen 14 pemain JDT tersebut dibanding-bandingkan dengan tindakan David Rowley yang membatalkan percutiannya di Jerman untuk menyahut seruan Kim Pan-gon dalam Kejohanan Piala AFF.

Kemudian dibandingkan pula dengan berita Kylian Mbappe yang turun ke latihan PSG sejurus selepas habis final Piala Dunia 2022.

TMJ bukanlah orang pertama dalam dunia bola sepak yang diheret masuk dalam perdebatan kelab vs negara.

Hanya memetik sebahagian kecil contoh, Bayern Munich pernah menghalang Austria dan Perancis daripada memanggil David Alaba dan Lucas Hernandez daripada bermain perlawanan persahabatan tak bermakna di tengah musim.

“Kami pun ada pandangan kami sendiri. Tugas kami adalah melindungi pemain.

Artikel Berkaitan:

“Jika pemain berisiko mendapat kecederaan, sudah tentu mereka tak boleh digunakan,” kata Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic.

Kemudian pada 1997, Sir Alex Ferguson mengkritik tindakan pengurus England, Glen Hoddle yang memanggil adik-beradik Neville, David Beckham, Paul Scholes dan Andy Cole dalam misi untuk menjuarai – Le Tournoi de France. FIFA memberi kebebasan kepada pengurus kelab untuk menarik keluar pemain daripada menyertainya.

Jadi Ferguson menggunakan kebebasan ini dengan menyarankan pemain-pemainnya menarik diri.

“Sejak beberapa tahun baru-baru ini, kami dah main 50 perlawanan semusim. Musim ini (1996/1997) juga sama. (Le Tournoi de France) berisiko kepada pemain muda. Jadi saya tak boleh lepaskan mereka.

”Pemain-pemain United bagaimanapun memilih untuk tidak menarik diri,” kata Ferguson

Dalam erti kata lain, perdebatan kelab vs negara adalah normal dan bukan perkara baharu.

Bagi perspektif luar kem JDT, tindakan 14 pemain JDT tidak patriotik. Tetapi bagi perspektif kem JDT, isu patriotisme tidak sepatutnya timbul kerana dua sebab.

Pertama, fakta Kejohanan Piala AFF sendiri yang berada di luar Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA.

FIFA sendiri membuat peraturan sesebuah kelab tidak wajib melepaskan pemain ke tugasan antarabangsa jika perlawanan berlangsung di luar Kalendar Perlawanan Antarabangsa.

Kedua, risk-to-reward ratio Kejohanan AFF sangatlah tidak berbaloi bagi kem JDT.

Sebagai kelab yang menjadi tulang belakang skuad Harimau Malaya, risiko kecederaan pemain-pemain jauh lebih besar berbanding pemain-pemain Malaysia dari pasukan lain.

Reward yang ditawarkan oleh AFF kepada skuad negara juga tidaklah besar.

Dalam pekali kepentingan perlawanan FIFA (yang menentukan jumlah mata ranking FIFA), AFF hanya menawarkan pekali paling rendah: 5.

Berapa kali untuk perlawanan persahabatan dalam Kalendar Perlawanan Antarabangsa? 10.

Berapa kali untuk perlawanan peringkat kumpulan Piala Asia 2023 nanti? 15.

Semua perdebatan ini berbalik kepada soal kepentingan perlawanan dan pertimbangan risk-to-reward kepada pemain.

Kylian Mbappe boleh menyertai latihan PSG beberapa hari selepas tugasan Perancis kerana Perancis beraksi dalam Piala Dunia – yang menawarkan 10 hingga 12 pekali yang jauh lebih tinggi berbanding AFF.

Anda fikir PSG akan melepaskan Mbappe jika Perancis bermain dalam Le Tournoi de France?

Manakala David Rowley pula boleh membatalkan percutiannya kerana risiko kecederaannya rendah selepas bermain hanya 28 perlawanan kompetitif sepanjang musim 2022.

Sri Pahang (dan majoriti pasukan Liga Super lain) bermain antara 33 hingga 36 perlawanan kompetitif – jauh berbeza daripada 50 perlawanan kompetitif yang pemain JDT lalui sepanjang 2022.

Di sebalik jadual musim 2022 yang sibuk ini, barisan pemain-pemain JDT yang membentuk majoriti skuad Harimau Malaysia tetap mampu memberi beberapa sumbangan bermakna kepada negara:

1. Menyumbang 16 mata AFC MA Ranking untuk memberi lebih banyak slot kepada pasukan Liga Super beraksi di peringkat Asia.

2. Membantu Malaysia mengutip 32.07 mata ranking dunia FIFA, sekali gus menaikkan ranking negara dari kedudukan 154 ke 146 dalam masa setahun.

Sumbangan JDT kepada skuad kebangsaan tidak terhad di atas padang sejak 2016:

3.Meminjamkan pusat latihan untuk kegunaan skuad kebangsaan dan meminjamkan Stadium Larkin dan Stadium Pasir Gudang untuk tujuan latihan dan perlawanan persahabatan pada 2021.

4.Menaja kos RM1.4 juta untuk menanam rumput baharu Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dijadualkan akan bermula prosesnya pada Mac 2023.

5.Meminjamkan kanvas stadium untuk menjaga kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum perlawanan-perlawanan penting skuad kebangsaan.

6. Memberi sebuah bas rasmi untuk kegunaan pasukan kebangsaan pada 2017.

Malah TMJ sendiri meninggalkan jasa besar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semasa memegang tampuk presiden:

7. Merombak dan mengecilkan saiz staf pentadbiran FAM untuk menjaga kewangan FAM.

8. Mengurangkan jumlah saman MP Silva terhadap FAM dari RM6.5 juta kepada RM1.4 juta. RM1.4 juta itu kemudiannya dibayar sendiri oleh TMJ untuk untuk menyelesaikan kes saman tersebut.

9.Membelanjakan RM12 juta duit sendiri untuk melapuskan hutang lapuk FAM dan menyuburkan program-program akar umbi sebelum meninggalkan FAM dalam keadaan lebih baik.

10.Menghantar jurulatih skuad kebangsaan ke luar negara (Sepanyol) untuk perkongsian profesional.

11. Sekarang bandingkan pula magnitud sumbangan kelab-kelab Liga Super lain kepada Harimau Malaya?

Kesimpulannya, JDT mungkin tidak menghantar kontinjen pemain-pemainnya untuk misi menjuarai Kejohanan Piala AFF, tetapi tiada siapa boleh menidakkan sumbangan pemain-pemain mereka pada 2022.

Keputusan TMJ mempertahankan pemain-pemainnya adalah betul bagi perspektif kelabnya dan bukan sesuatu yang asing dalam dunia bola sepak. Malah dibenarkan oleh FIFA lagi.

Kita mungkin tidak bersetuju dengan keputusan tersebut, tetapi ia tidak boleh menidakkan sumbangan pemain-pemain tersebut kepada skuad negara sepanjang 2022 yang boleh disimpulkan sebagai tahun yang produktif buat Harimau Malaya.

Fokus kita seterusnya adalah misi memperbaiki pencapaian edisi 2007 dalam kempen Piala Asia 2023 nanti.

Anda boleh bertaruh – sama ada benci atau suka – peluang kita lebih cerah jika pemain-pemain JDT berada pada tahap 100 peratus.

Dan bila bercakap tentang pemain JDT, hanya JDT sahaja tahu apa yang terbaik untuk pemain mereka. Bukan kita. Bukan Kim Pan-gon. JDT.