Banjir: Perak tanggung kos bina rumah 28 keluarga

Saarani tiba di Dewan Negeri pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (Enakmen) Perbekalan Perak 2023 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto Bernama
Saarani tiba di Dewan Negeri pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (Enakmen) Perbekalan Perak 2023 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bersetuju untuk menanggung kos projek pembinaan rumah bagi 28 keluarga di Lorong Mesra, Teluk Intan yang sering dilanda banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua keluarga berkenaan sepatutnya dipindahkan ke Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Batu 8, namun perkara diputuskan pada awal 2017 itu tertangguh disebabkan kegagalan pemaju dalam menyiapkan projek perumahan berkenaan.

Menurutnya, pada peringkat awal, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah bersetuju untuk menanggung kos bagi pembinaan 28 unit itu, namun pada 20 April 2021, pemaju dilantik telah menarik diri kerana tidak mampu meneruskan projek atas faktor masalah kewangan.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri telah menamatkan kontrak pemaju pada 24 Jun 2021 dengan kemajuan kerja projek tersebut pada ketika itu adalah sebanyak 17 peratus.

"Ekoran penamatan kontrak ini juga, Nadma telah menarik balik peruntukan yang dijanjikan.

"Atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab membela nasib keluarga terbabit, kerajaan negeri melalui LPHP bersetuju untuk menanggung kos pembinaan rumah bagi 28 keluarga tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Perbahasan Belanjawan Perak 2023 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu.

Saarani berkata, LPHP sedang merancang semula pembangunan projek terbabit dan perunding yang dilantik telah diarahkan menyediakan anggaran kos terkini projek berkenaan sebelum ditender semula.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, penduduk di kawasan itu merayu agar mereka dipindahkan segera kerana sudah tidak tahan terpaksa berdepan situais banjir yang kerap.

Sepanjang November dan Disember ini, kediaman mereka telah beberapa kali dinaiki air sehingga menyebabkan kerosakan banyak harta benda.