S P Setia Foundation bawa 90 pelajar tonton Mechamato

Zuraidah (depan, tiga dari kanan) bersama pelajar sekolah rendah dari Semenyih dan Dengkil selepas menonton Mechamato.
Zuraidah (depan, tiga dari kanan) bersama pelajar sekolah rendah dari Semenyih dan Dengkil selepas menonton Mechamato.
A
A
A

SHAH ALAM – S P Setia Foundation menerusi kempen 'Ikhlas Setia' telah membawa seramai 90 pelajar sekolah rendah untuk menonton filem animasi tempatan, Mechamato pada 13 Disember lepas.

S P Setia dalam satu kenyataan berkata, program itu diadakan untuk menghargai pelajar dari sekolah angkat yayasan itu menerusi Setia Caring School Programme (SCSP) di kawasan Lembah Klang antaranya dari Semenyih dan Dengkil.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan pelajar yang terlibat merupakan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Semenyih, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Baru Semenyih dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Rinching serta pelajar orang asli dari Sekolah Kebangsaan Tampoi, Dengkil.

“Program ini diadakan pada musim cuti sekolah bertujuan untuk mendidik mereka mengenai kelestarian dan menggalakkan kreativiti mereka di luar bilik darjah.

“Mereka telah menonton cerita animasi Mechamato yang menampilkan Amato yang menjadi tuan kepada robot yang mengubah objek biasa menjadi peranti berteknologi tinggi.

"Mereka juga dibawa ke sesi permainan pendidikan di Toy8 Playground untuk memberikan pengalaman kepada mereka fokus kepada intervensi awal kanak-kanak,” jelas kenyataan itu.

Pengerusi S P Setia Foundation, Datuk Zuraidah Atan berkata, yayasan berharap dapat memainkan peranan dalam membentuk mereka menjadi pemimpin masa depan.

“Mereka juga akan tahu bahawa dalam kesusahan, mereka tinggal di negara yang rakyatnya baik hati, mengambil berat mengenai kesejahteraan mereka tanpa mengira warna kulit atau status sosial.

Artikel Berkaitan:

“Yayasan memberikan mereka peluang dengan memupuk kecerdasan, kemahiran dan bakat mereka untuk membesar menjadi penyumbang positif kepada kemajuan dan pembangunan negara ini,” kata Zuraidah.