'Pelajar sekolah, penjawat awam 'diperalat' tonton filem Anwar'

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengkritik tindakan pimpinan Kerajaan Perpaduan yang didakwa memperalatkan pelajar sebuah sekolah menengah dan anggota bomba bagi menonton filem 'Anwar: The Untold Story'.

Beliau yang juga merupakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, tindakan itu seolah-olah mencerminkan keterdesakan pihak kerajaan dalam menyebarkan propaganda politik.

"Apa sudah jadi? Kenapa ditunggang sekolah dan bomba untuk kerja sebegini? Bolehkah di bawa mesej propaganda politik kepada murid-murid dan penjawat awam dengan cara sebegini? Bukan semua benda dalam filem tu betul pun.

"Macam terdesak sangat! Dulu zaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tak ada pun buat macam ni untuk filem filem biopik Almarhum Tun Abdul Razak Hussein 'Tanda Putera'.

Baru-baru ini Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menjemput pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5(1) untuk menonton filem tersebut.

Perkara itu dinyatakan menerusi sepucuk surat yang dikeluarkan pada Selasa.

Pada masa yang sama, satu surat juga turut dikeluarkan oleh Jabatan Bomba Malaysia dan Penyelamat pada 19 Mei yang menjemput kakitangannya untuk menonton tayangan amal 'Anwar: The Untold Story' di Putrajaya.