'Kandungan ubat PrEP perlu diteliti terlebih dahulu'

Irwan semasa program Wacana Sinar bertajuk 'PrEP: Tanggungjawab, pencegahan penyakit HIV' pada Selasa.
Irwan semasa program Wacana Sinar bertajuk 'PrEP: Tanggungjawab, pencegahan penyakit HIV' pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure prophylaxis) dalam membendung jangkitan HIV perlu dibincangkan secara menyeluruh termasuk melibatkan agamawan sebelum ia dilaksanakan.

Setiausaha Akademi Fiqh Islam Malaysia (AFHAM), Profesor Dr Irwan Mohd Subri berkata, perbincangan tersebut merangkumi pelbagai aspek antaranya golongan sasar dan status kandungan yang terdapat di dalamnya.

Kita kena bincang secara holistik daripada sudut siapa penerima, apa kandungannya, sebab kita ada garis panduan halal yang perlu kita ikut.

“Contohnya macam vaksin Covid-19, mengapa ia halal, kerana telah dibawa ke dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan diperhalusi.

“Jadi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak boleh duduk berseorangan sahaja dalam isu ini,” ujar beliau dalam program Wacana Sinar bertajuk 'PrEP: Tanggungjawab, pencegahan penyakit HIV' yang dihoskan oleh Ismail Adnan pada Selasa.

Turut bergandingan sebagai panelis ialah Profesor Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Rafidah Hanim Mokhtar; Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan Ketua Sektor HIV/ Bahagian Kawalan (Penyakit) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Anita Suleiman.

Pada masa sama, Irwan menegaskan, ubat PrEP tidak boleh sama sekali diberikan kepada individu yang melakukan hubungan seksual di luar daripada kerangka yang dibenarkan Islam.

“Kita tiada masalah jika PrEP diberikan kepada pasangan suami isteri yang menghidap HIV kerana mahu mengelakkan jangkitan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Cuma bila hendak dipanjangkan kepada golongan bukan suami isteri dan pelaku homoseksual, maka ia akan menjadi satu isu,” ulasnya.