Malaysia harap Afghanistan kaji semula haramkan wanita ke universiti

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia berharap Afghanistan mengkaji semula keputusan mengharamkan golongan wanita di negara itu memasuki universiti kerana ia akan menjejaskan pembangunan pendidikan umat Islam pada masa akan datang.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau telah menulis surat berhubung perkara tersebut kepada Pemangku Menteri Pengajian Tinggi Afghanistan Neda Mohammad Nadeem dan Duta negara itu di Malaysia Dr Moheb Rahman Spinghar.

"Saya telah berkongsi dengan Yang Berhormat Menteri berkenaan, antara lain, pengalaman dan amalan Malaysia untuk menghormati golongan wanita yang menyumbang terutamanya kepada agenda kepentingan negara.

"Saya amat sedih apabila mengetahui keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi Afghanistan yang baru-baru ini telah mengharamkan wanita daripada memasuki institusi pengajian tinggi di negara itu," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Malaysia telah membuktikan bahawa wanita mampu meningkatkan reputasi negara melalui pendidikan yang mantap.

"Memanfaatkan bakat dan kemahiran wanita Islam Malaysia sebagai rakan kongsi yang setaraf dalam pelbagai industri telah membantu merangsang ekonomi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Saya yakin pendidikan untuk golongan wanita di Afghanistan akan menjadikan mereka sebagai aset berharga kepada negara dan membantu membina daya tahan, kestabilan serta perpaduan sosial yang kukuh ke arah pembinaan bangsa," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: