Dua ditahan kurang 24 jam lepas samun kedai runcit

Rakaman kamera litar tertutup memaparkan kejadian samun bersenjatakan parang di sebuah kedai runcit di Bagan Datuk pada Ahad. - Foto ihsan pembaca
Rakaman kamera litar tertutup memaparkan kejadian samun bersenjatakan parang di sebuah kedai runcit di Bagan Datuk pada Ahad. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

TELUK INTAN - Dua lelaki berjaya diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan parang sebuah kedai runcit di Sungai Sumun, Bagan Datuk di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek berusia 30-an cuba menyamun wang tunai namun gagal.

"Dalam kejadian itu, suspek hanya berjaya melarikan sebuah telefon bimbit jenama Huawei bernilai RM500 milik pekerja kedai.

"Suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha RX-Z yang ditunggang seorang lagi suspek yang menunggu di luar premis," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek berjaya ditahan sekitar jam 1 pagi pada Isnin di sebuah rumah di Teluk Intan.

"Suspek ditahan bersama barang kes terlibat dan hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu.

"Kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam dan kedua-dua suspek direman lima hari sehingga Jumaat ini," katanya.

Ahmad Adnan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya dengan cadangan pertuduhan.

Artikel Berkaitan: