Tiada arahan usir penyewa PPR, kata Khalid

Khalid melepaskan pengguna jalan raya dari Jalan 1/27A ke Setiawangsa selepas merasmikan jalan raya tersebut, hari ini - Foto Bernama
Khalid melepaskan pengguna jalan raya dari Jalan 1/27A ke Setiawangsa selepas merasmikan jalan raya tersebut, hari ini - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang pengusiran terhadap penghuni projek perumahan rakyat (PPR) yang didakwa berlaku kononnya kerana gagal jelaskan seluruh tunggakan sewa rumah.

Sebaliknya, kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha membantu menyelesaikan masalah dihadapi penyewa PPR menerusi pelbagai mekanisme termasuk membenarkan pembayaran sewa dibuat secara berperingkat

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, dakwaan itu turut mengaitkan dirinya yang dikatakan mengeluarkan arahan pengusiran berkenaan.

“Baru-baru ini dikatakan ada usaha pengusiran penyewa kerana masalah tunggakan. Apabila mereka datang jumpa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan nak bayar sebahagian terlebih dahulu, tidak diterima kerana perlu bayar semua. Katanya atas arahan saya.

“Saya nafikan perkara berkenaan. Malah, DBKL juga membenarkan pembayaran secara berperingkat,” katanya pada sidang media selepas Perasmian Pembukaan Jalan Sambungan Jalan 1//27A ke Setiawangsa, hari ini.

Khalid pada sidang media selepas Perasmian Pembukaan Jalan Sambungan Jalan 1//27A ke Setiawangsa, hari ini.
Khalid pada sidang media selepas Perasmian Pembukaan Jalan Sambungan Jalan 1//27A ke Setiawangsa, hari ini.

Beliau berkata, DBKL juga sentiasa mencari penyelesaian terbaik dalam mengatasi masalah tunggakan bayaran sewa PPR.

Ujarnya, terdapat penyewa yang mempunyai tunggakan sehingga RM8,000.

Artikel Berkaitan:

“Kita faham penghuni yang susah tak mampu nak bayar. Jika ada mana-mana penghuni PPR nak bayar sebahagian tunggakan kita terima.

“Kita tak akan usir melainkan tiada pilihan. Yang tak mahu bayar. Yang sewakan balik,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, arahan mengosongkan unit PPR berkenaan hanya akan dibuat DBKL terhadap mereka yang sudah tidak layak menduduki PPR berkenaan.

"Bagi penyewa yang 'mewariskan' rumah itu kepada anak mereka atau orang asing, konsep sewa atas sewa dan penyewa yang sudah mampu daripada segi sara hidup memang mereka perlu keluar untuk penyewa lain yang layak masuk," katanya.

DBKL mengalami kerugian sebanyak RM18,137,507 berikutan tunggakan sewa terkumpul daripada penyewa unit PPR dan Perumahan Awam (PA) setakat 31 Oktober lepas iaitu melibatkan 26,860 penyewa PPR dan PA yang gagal menjelaskan sewa bulanan sebanyak RM124 sebulan.