Maut ditimpa pokok tumbang

Anggota APM memotong dan mengalihkan pokok tumbang. Foto ihsan JBPM Negeri Sembilan
Anggota APM memotong dan mengalihkan pokok tumbang. Foto ihsan JBPM Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Seorang penunggang motosikal maut manakala rakannya cedera parah selepas ditimpa pokok tumbang di jalan Seremban-Tampin berhampiran kawasan perindustrian pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian pada jam 12.30 malam itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha FZ150 yang ditunggang Muhammad Ikram Mohd Yazid, 21, bersama rakannya, Ammar Zarif Mohamad Junaidi, 18.

"Mangsa dari arah Senawang menghala ke Rembau dan ketika tiba dilokasi, sebatang pokok yang berada di kiri bahu jalan telah tumbang lalu menghempap motosikal mangsa yang sedang bergerak.

"Akibat bencana tersebut, kedua-dua mangsa terperosok di bawah pokok tersebut. Muhammad Ikram disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

"Pemboncengnya pula parah dibahagian badan dibawa ke Hospital Rembau untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas Nanda, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan: