Penduduk gadai nyawa guna jambatan hampir roboh

Mansor menunjukkan sisa kayu yang tersangkut pada bahagian jambatan hampir putus.
Mansor menunjukkan sisa kayu yang tersangkut pada bahagian jambatan hampir putus.
A
A
A

KUALA KRAI - Lebih 100 penduduk di Kampung Temalir di sini terpaksa bergadai nyawa meniti di jambatan yang hampir runtuh akibat dibadai arus Sungai Pahi di sini sejak Jumaat minggu lalu.

Penoreh getah, Mansor Mustapa, 58, berkata, dia menggunakan jambatan itu sebagai laluan utama untuk keluar ke jalan di Kampung Temalir lama dan membeli keperluan di bandar Kuala Krai.

“Jambatan ini sepatutnya boleh dilalui oleh kereta dan motosikal namun kini perlu memberhentikan kenderaan di tepi sungai sebelum berjalan kaki melalui jambatan ini.

“Saya juga menggunakan jambatan ini untuk ke rumah ibu dan beberapa kali tergelincir ketika meniti di jambatan ini,” katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Menurut Mansor, terdapat jalan alternatif yang boleh digunakan oleh penduduk namun berisiko kerana tidak berturap dan terlalu jauh dengan jarak lima kilometer untuk sampai ke jalan utama di kampung ini.

“Jalan pilihan itu juga hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda dan motosikal sahaja

“Laluan itu menjadi lebih sukar dengan dipenuhi selut apabila hujan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Roslizi Salleh, 49, berkata, struktur keseluruhan binaan jambatan berusia 50 tahun itu menggunakan besi namun sebahagian jambatan itu pernah runtuh disebabkan kejadian banjir pada Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Roslizi (kanan) dan Jusoh (kiri) berdiri di jambatan di Kampung Temalir, Kuala Krai.
Mohd Roslizi (kanan) dan Jusoh (kiri) berdiri di jambatan di Kampung Temalir, Kuala Krai.

“Penduduk bergotong-royong membina semula sambungan jambatan dengan menggunakan kayu sebelum sekali lagi dihempas arus deras ketika hujan lebat baru-baru ini.

“Walaupun jambatan hampir putus ini sudah ditahan dengan menggunakan batang pokok kelapa dan durian, kini penduduk mengikat jambatan menggunakan dawai besi pula,” katanya.

Sementara itu, penoreh getah, Jusoh Hassan, 69, mengharapkan pihak berwajib dapat memperbaiki jambatan itu segera bagi menggelak kejadian tidak diingini.

“Seorang penunggang motosikal yang juga penduduk tempatan pernah terjatuh bersama motosikal ke dalam sungai ketika melalui jambatan ini.

“Mangsa bernasib baik kerana arus sungai ketika itu tidak terlalu deras dan airnya pula tidak dalam,”jelasnya.