Taman Negara Tanjung Piai bakal dibanjiri 150,000 pengunjung

Muhammad Nasir melakukan flag-off acara Cuti-Cuti Malaysia Fun Ride sempena pesta air pasang besar berkenaan. (Gambar kecil: Afendi)
Muhammad Nasir melakukan flag-off acara Cuti-Cuti Malaysia Fun Ride sempena pesta air pasang besar berkenaan. (Gambar kecil: Afendi)
A
A
A

PONTIAN – Di sebalik penutupan beberapa taman negara di Johor, seramai 150,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dijangka mengunjungi Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) menjelang penghujung tahun ini.

Menurut Penolong Pengurus TNJTP, Afendi Abdullah, jumlah pengunjung juga dijangka bakal melebihi jangkaan dibuat berikutan TNJTP masih lagi beroperasi sehingga ke hari ini.

“Setakat ini semua taman negara di Johor seperti Taman Negara Endau-Rompin (Peta Salai), Taman Negara Gunung Ledang, Pulau Kukup memang ditutup buat sementara sehingga cuaca kembali baik...kita akan buat hebahan nanti (buka), kepada umum.

“Kesemua taman negara ini kita tutup kerana ia akan berikan impak...tetapi di Tanjung Piai ini kita benarkan untuk terus beroperasi kerana kurang berikan impak.

“Bagaimanapun, pihak pengurusan di sini akan buat rondaan kerap bagi memastikan tidak berlaku sebarang kerosakan di mana-mana lokasi,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sempena program Cuti-Cuti Malaysia Fun Ride Penghujung Benua Asia Sempena Pesta Air Pasang Besar Tanjung Piai 2022 di sini yang melibatkan 300 peserta tempatan serta 12 peserta dari Indonesia dengan kayuhan sejauh 30 kilometer (km) dari Taman Negara Tanjung Piai hingga ke Taman Negara Pulau Kukup, di sini.

Tambahnya, sejak Januari sehingga November 2022, TNJTP menerima 140,000 pengunjung dan jumlah berkenaan dijangka terus meningkat sehingga ke penghujung tahun ini dan diramalkan boleh mencecah lebih 150,000.

“Selepas pandemik, kita merekodkan jumlah pengunjung yang semakin tinggi di sini (TNJTP) dan apa yang menarik perhatian kita adalah trend pengunjung yang kini turut melibatkan golongan warga emas.

Artikel Berkaitan:

“Mereka ini (warga emas), akan datang bersama-sama dengan keluarga masing-masing dan sama-sama menyaksikan fenomena air pasang besar di sini.

Pengunjung merasai sendiri fenomena air oasang besar di Taman Negara Johor, Tanjung Piai.
Pengunjung merasai sendiri fenomena air oasang besar di Taman Negara Johor, Tanjung Piai.

“Jadi, boleh katakan bahawa fenomena air pasang besar ini sudah jadi macam percutian keluarga pula,” jelasnya.

Sementara itu Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Muhammad Nasir Pahmi berkata, program Fun Ride berkenaan mungkin dianjurkan sebagai satu pertandingan di masa hadapan berdasarkan kepada lokasi di sekitar kawasan berkenaan yang dilihat agak bersesuaian untuk acara sedemikian.

“Kita tengok lokasi di sini agak sesuai di mana jalan raya tak padat, tak sibuk dan memang sesuai untuk aktiviti berbasikal dan mungkin juga kita boleh anjurkan pertandingan basikal lasak (off road) juga nanti.

“Apa pun, semua itu dalm perancangan kita kerana secara tidak langsung ia juga akan membantu mempromosikan produk-produk tempatan seperti homestay, makanan dan sebagainya di Tanjung Piai,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!