Pulau Pinang dedah 56 syarat pelaksanaan Lebuhraya PIL 1

Kon Yeow (tengah) mengumumkan PHF 2019 yang akan menemui pengunjung pada 18 hingga 21 Julai ini pada sidang media di Bukit Bendera tadi.
Kon Yeow (tengah) mengumumkan PHF 2019 yang akan menemui pengunjung pada 18 hingga 21 Julai ini pada sidang media di Bukit Bendera tadi.
A
A
A

GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang mendedahkan butiran 56 syarat yang dikenakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, antara syarat berkenaan adalah Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) hendaklah disediakan dan mendapat kelulusan daripada JAS Pulau Pinang sebelum kerja-kerja pembinaan dijalankan.

Menurutnya, kesemua syarat tersebut merangkumi pematuhan terhadap kawalan kerja tanah; kawalan dan pengawasan kualiti air; udara; bunyi bising dan juga getaran; pengurusan bahan buangan, penilaian risiko dan langkah-langkah kawalan.

"Kerajaan negeri perlu melaksanakan semua aspek mengurus perdana (environmental mainstreaming tools). Selain itu, Audit Alam Sekeliling juga harus dijalankan oleh juruaudit berdaftar sepanjang tempoh projek.

"Sementara itu, Laporan Kualiti Alam Sekitar perlu dihantar ke JAS Pulau Pinang secara berkala iaitu sekitar tiga bulan sekali," katanya pada sidang media di Bukit Bendera tadi.

Semalam, Kon Yeow mengumumkan JAS telah meluluskan kajian EIA untuk Lebuhraya PIL 1 yang dijangka menelan belanja RM7 bilion.

Menurutnya, laporan EIA bertarikh 2 Januari itu telah melalui penilaian dan pertimbangan oleh Jawatankuasa Teknikal Penilaian Laporan EIA.

Menerusi penilaian itu, laporan itu didapati memenuhi syarat mengikut Seksyen 34A (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan diluluskan bersama 56 syarat.

Artikel Berkaitan:

Projek yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion itu dijangka bermula pada Julai 2020 dan siap pada Jun 2026.

Kon Yeow berkata, antara syarat lain yang perlu dipatuhi adalah pegawai alam sekitar yang kompeten perlu dilantik.

"Pegawai itu harus bertanggungjawab terhadap pengurusan alam sekitar serta langkah-langkah mitigasi.

"Butiran syarat-syarat yang diterima JAS akan dijadikan umum mengikut budi bicara kerajaan negeri," katanya.

Tambahnya, projek itu bukan satu pembaziran berikutan ia adalah keperluan bagi rakyat di negeri ini.

"Projek ini adalah cara untuk kerajaan negeri mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang dan rakyat sangat memerlukannya. Pada waktu ini, jika kita lihat, rakyat berdepan dengan masalah kesesakan lalu lintas.

"Bayangkan apa akan berlaku nanti jika projek lebuhraya ini tidak dilaksanakan. Dengan masalah seperti ini, jika tidak diatasi, kita percaya pelancong dan pelabur asing tidak akan datang ke Pulau Pinang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow mengumumkan Festival Bukit Bendera 2019 (PHF 2019) akan kembali menemui pengunjung pada 18 hingga 21 Julai ini.

Ia bertemakan menghayati alam semula jadi, sejarah dan budaya dengan penganjuran pelbagai aktiviti menarik di tengah kawasan hutan tropika yang berusia 130 juta tahun itu.

Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), Cheok Lay Leng.