Larikan diri elak dirakam jurugambar

Tiga wakil syarikat pengeluar telur ayam bertindak melarikan diri sebaik keluar dari pintu kamar Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini selepas kesemua mereka yang mewakili syarikat masing-masing dituduh mencatut dalam penjualan telur ayam gred A, pada hujung 2018 dan bulan lalu.
Tiga wakil syarikat pengeluar telur ayam bertindak melarikan diri sebaik keluar dari pintu kamar Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini selepas kesemua mereka yang mewakili syarikat masing-masing dituduh mencatut dalam penjualan telur ayam gred A, pada hujung 2018 dan bulan lalu.
A
A
A

AYER KEROH - Gara-gara mengelak diri dirakam jurugambar, tiga wakil syarikat pengeluaran telur ayam di negeri ini melarikan diri sebaik keluar dari pintu kamar Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini.

Tindakan itu dibuat selepas kesemua mereka yang mewakili syarikat masing-masing dituduh mencatut dalam penjualan telur ayam gred A, pada hujung 2018 dan bulan lalu.

Media yang membuat liputan juga terpaksa menunggu hampir dua jam berikutan kesemua mereka enggan keluar dari kamar mahkamah sebaik menyedari kehadiran jurugambar selepas kes terbabit selesai disebut kira-kira jam 10 pagi.

Ketiga-tiga wakil syarikat terbabit bagaimanapun, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, Kok Chiew Heng, mewakili LTK (Melaka) Sdn Bhd, didakwa mencatut dalam penjualan sebiji telur ayam gred A sebanyak 17.46 peratus sehingga menyebabkan kenaikan peratusan margin dari 12.29 peratus kepada 29.75 peratus, ketika jam 11.15 pagi pada 7 Mac lalu, di premis LTK Melaka Sdn Bhd, Durian Tunggal, Alor Gajah.

Manakala Chong Jwo Tong yang mewakili syarikat Chong Yee Nam Sdn Bhd didapati mencatut dalam penjualan sebiji telur ayam gred A sebanyak 12.86 peratus, hingga menyebabkan kenaikan peratusan dari 14.41 peratus kepada 27.27 peratus. Kesalahan itu dilakukan jam 2.15 petang, pada 13 Disember 2018 di premis terbabit di Lendu New Village, Alor Gajah.

Sementara Chong Wah Rhu, yang mewakili Chong Wei Chit Sdn Bhd pula didakwa mencatut dalam penjualan sebiji telur ayam gred A sebanyak 27.59 peratus, hingga mengakibatkan kenaikan peratusan dari 5.06 peratus kepada 32.65 peratus. Kesalahan itu dilakukan jam 2.30 petang, pada 13 Disember 2018 di premis terbabit di Jalan Lendu, Alor Gajah.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (mekanisme untuk menentukan keuntungan tinggi tidak munasabah) 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 18(a) akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, boleh didenda sehingga RM1 juta.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Hazril Harun dan Mohammed Heikal Ismail, manakala ketiga-tiga syarikat diwakili Peguam Bela Nahdan Rengganathan Abdullah.

Nathan Rengganathan selepas itu memohon satu tarikh baru untuk mendapatkan dokumen berkaitan daripada pihak pendakwaan.

Norma kemudian menetapkan 16 Mei depan untuk tarikh sebutan semula bagi ketiga-tiga kes.