[VIDEO] Tiada ketika banjir buruk, MB Terengganu mohon maaf

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat Terengganu khususnya mangsa banjir kerana tiada di negeri itu ketika banjir buruk melanda pada 18 hingga 21 Disember lalu.

Permohonan maaf itu dibuat menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook rasminya pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu menyatakan permohonan maaf secara terbuka selepas mendengar taklimat pengurusan bencana di Pejabat Daerah Kemaman pagi tadi.

"Saya ingin ambil kesempatan mohon jutaan kemaafan daripada seluruh mangsa banjir dan rakyat Terengganu kerana saya tidak dapat bersama mangsa banjir pada waktu kritikal iaitu 18 hingga 21 Disember.

"Saya faham, apa jua alasan yang saya berikan ia sudah tentu tidak boleh membetulkan keadaan ketiadaan saya di sisi rakyat pada waktu sebegini," kata Ahmad Samsuri dalam video tersebut.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri menegaskan, beliau sentiasa meneliti perkembangan semasa banjir sepanjang tempoh ketiadaannya di Terengganu ketika itu.

"Saya sentiasa berkomunikasi dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan setiap keputusan yang memerlukan kelulusan saya sebagai Menteri Besar dapat diteruskan setelah perbincangan dibuat dengan jawatankuasa tersebut.

"Kerajaan negeri telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi banjir kali ini, malangnya cuaca yang terlalu ekstrem dengan hujan terlalu lebat telah menyebabkan berlakunya bencana banjir luar biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pengumuman sama, beliau memberitahu setiap mangsa banjir berdaftar di Terengganu akan mendapat bantuan tunai RM1,000 manakala keluarga mangsa korban banjir pula menerima RM10,000.

Kata beliau, bantuan lain akan turut diteliti oleh kerajaan negeri bagi membantu meringankan bebanan mangsa banjir yang terkesan.