Ahmad Samsuri 'muncul' di Kemaman

Tangkap layar video live di Facebook rasmi Ahmad Samsuri menunjukkan pemimpin itu melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai di daerah Kemaman pada Jumaat.
Tangkap layar video live di Facebook rasmi Ahmad Samsuri menunjukkan pemimpin itu melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai di daerah Kemaman pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang sebelum ini dikatakan menghilang dilihat 'muncul' melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, di Kemaman pada Jumaat.

Perkembangan itu hanya diketahui media menerusi perkongsian siaran langsung (live) di laman Facebook rasminya sekitar jam 12.15 tengah hari tadi.

Menurut sumber melalui grup WhatsApp pengamal media bersama kerajaan negeri (Media Perdana), rakaman secara langsung berkenaan perkembangan terkini pemimpin itu dibuat di daerah Kemaman.

Setakat ini pihak media belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan negeri termasuk Pejabat Menteri Besar berhubung ketiadaan Ahmad Samsuri sebelum ini.

Kali terakhir pemimpin itu dilihat melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar daerah Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus pada 9 Disember lalu.

Ahmad Samsuri sebelum ini tular di media sosial kerana didakwa tiada di Terengganu ketika rakyat di negeri itu berdepan gelombang kedua bencana banjir.

Dakwaan itu turut dibuat bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam menerusi siaran langsung di media sosialnya pada malam Selasa lalu.

Selain itu, beberapa tangkap layar tiket penerbangan pemimpin berkenaan ke Auckland, New Zealand turut tular dan menimbulkan pelbagai reaksi setelah ia dikongsikan di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat ketika dihubungi pada Rabu menyatakan beliau tidak mengetahui keberadaan Ahmad Samsuri dan hanya mengesahkan pemimpin itu ke New Zealand berdasarkan gambar tiket penerbangan yang dikongsikan netizen di media sosial.

Hanafiah bagaimanapun berkata, ketiadaan menteri besar itu di Terengganu ketika ini tidak menjadi isu kerana persiapan banjir telah disusun secara rapi.

Ikuti perkembangan semasa mengenai banjir di seluruh negara di sini!