Pembangkang tidak lagi disisihkan dalam Bajet Perak

Kah Leong ketika Sidang DUN Perak pada Khamis.
Kah Leong ketika Sidang DUN Perak pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Pengagihan peruntukan secara adil kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Bajet Negeri Perak yang dibentangkan pada Khamis membuktikan kerajaan tidak menyisihkan pembangkang.

Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, ini kerana kerajaan gabungan yang dianggotai Pakatan Harapan (PH) dan BN mementingkan kemajuan seluruh negeri tanpa meminggirkan mana-mana kawasan.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM300,000 setahun bagi 59 ADUN Perak di dalam Bajet Perak 2023 seperti diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad membuktikan kerajaan negeri memberi keadilan dan kesaksamaan dalam mentadbir Perak.

“Keadilan dan kesaksamaan yang dibawa oleh kerajaan negeri Perak sangat bertepatan dengan hasrat murni yang terkandung dalam titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa perasmian persidangan Dewan Negeri Perak pada Selasa lalu. Ini adalah masa untuk kerajaan bekerja dan bukan untuk bermain politik.

"Saya berharap pihak pembangkang tidak lagi menggunakan retorik mereka disisihkan daripada pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau yang juga ADUN Pasir Bedamar berkata, sebagai bukti kawasan pembangkang tidak disisihkan, sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan bagi projek pembinaan jambatan baharu menghubungkan Kampung Bahagia ke Bandar Teluk Intan serta projek pelebaran jalan di persimpangan Kampung Banjar ke Kampung Selabak dan Kampung Banjar ke Padang Tembak.

Menurutnya, kesemua projek berkenaan berada di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong yang diwakili ADUN dari Perikatan Nasional (PN).

Jelas Kah Leong berkata, kebaikan yang dibawa oleh kerajaan negeri itu wajar diketahui dengan meluas oleh rakyat tanpa sebarang putar belit sesetengah pihak.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Saarani membentangkan Bajet Negeri Perak 2023 berjumlah RM1.19 bilion melibatkan RM395 juta untuk peruntukan pembangunan manakala RM794 juta lagi bagi perbelanjaan mengurus.

Selain pemberian RM300,000 setahun kepada semua 59 ADUN dan Speaker DUN Perak, peruntukan RM7,000 sebulan juga diberikan kepada semua Pusat Khidmat ADUN di negeri ini dengan nilai keseluruhan hampir RM5 juta.