Dahulukan bantu rakyat bukan kejar publisiti

Beberapa penduduk Kampung Wakaf Stan 'terperangkap' di kawasan rumah mereka yang dinaiki air. - Gambar hiasan. Foto: Bernama
Beberapa penduduk Kampung Wakaf Stan 'terperangkap' di kawasan rumah mereka yang dinaiki air. - Gambar hiasan. Foto: Bernama
A
A
A

KELMARIN ada satu insiden yang membangkitkan kemarahan orang ramai dan netizen kerana ia tak sepatutnya berlaku dalam keadaan ramai menjadi mangsa banjir di Pantai Timur.

Tindakan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, melancarkan Misi Bantuan Banjir Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk Kelantan dan Terengganu.

Dalam keadaan rakyat memerlukan banyak bantuan dalam kadar segera, majlis pelancaran adalah suatu pembaziran kerana bajet untuk buat majlis berkenaan sepatutnya disalurkan terus kepada mangsa banjir.

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersungguh-sungguh untuk melakukan penjimatan dalam perbelanjaan kerajaan dan memberi keutamaan kepada masalah rakyat, boleh pula menteri beliau sendiri mengambil langkah menongkah arus.

Namun, insiden membabitkan Saifuddin itu bukanlah kejadian pertama kali berlaku dalam negara ini kerana ada juga menteri daripada kerajaan lepas yang lakukan kesilapan sama.

Tahun lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun turut dikecam gara-gara tersebar gambar poster bagi majlis Sumbangan Banjir Keluarga Malaysia yang dipercayai di sebuah hotel.

Rata-rata berpendapat perkara itu tidak patut berlaku ketika bukan sedikit mangsa banjir masih terperangkap bahkan bah besar itu telah meragut banyak nyawa.

Begitu juga dengan tindakan Menteri Belia dan Sukan sebelum ini, Datuk Faizal Azumu yang sempat pula menyempurnakan majlis pelancaran Skuad Banjir.

Netizen yang meluahkan rasa geram di laman Twitter mengecam tindakan menteri ini yang seolah-olah tiada rasa cemas kerana masih sempat berpakaian segak untuk merasmikan upacara yang bertujuan untuk membantu mangsa banjir tahun lalu.

Sepatutnya semua pihak terutamanya orang-orang kerajaan lebih berhati-hati dan berhemah dalam membuat sebarang perbelanjaan. Kalau setakat untuk buat pelepasan misi bantuan, tak perlulah adakan majlis yang grand sangat.

Artikel Berkaitan:

Cukup sekadar majlis ringkas kerana apa yang penting adalah matlamat untuk bantu rakyat tercapai dan bukannya mengejar publisiti atau political mileage.

Semoga semua menteri dan orang politik boleh ambil iktibar daripada insiden yang mendapat kecaman seumpama itu.