Rasuah urus jenazah: Tiga staf hospital dijel sehari, denda

Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Mahkamah Sesyen Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM – Seramai tiga pembantu perawatan kesihatan di Unit Forensik Hospital Kajang dipenjara sehari dan denda antara RM3,000 hingga RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menerima suapan berhubung pengurusan jenazah pada 2020 lalu.

Mohd Nizam Noordin, 42, Sharum Hassim, 42, dan Muhd Azhar Nahar, 45, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Sharum dipenjara sehari dan denda RM3,000 manakala Mohd Nizam dan Muhd Azhar masing-masing penjara sehari dan denda RM5,000.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara bermula Khamis dan dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Difahamkan ketiga-tiga mereka telah digantung tugas sejak April lalu.

Mengikut pertuduhan, Sharum didakwa telah menerima RM300 manakala Mohd Nizam dan Muhd Azhar masing-masing RM600 daripada seorang lelaki berusia 34 tahun, melalui akaun Maybank milik mereka.

Sedangkan mereka mengetahui ia berkaitan tugas rasmi bagi kerja pengurusan jenazah di hospital terbabit.

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Kajang, Selangor dan Taman Ria Jaya Sungai Petani, Kedah pada 21 Mei hingga 9 Disember 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau, kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shahruzaman dan kesemua tertuduh diwakili Peguam Mohd Fikah Sanusi.

Pada 8 Oktober tahun lalu, Sinar Harian melaporkan, seramai lima kakitangan jabatan forensik sebuah hospital di Selangor yang ditahan berhubung kes rasuah pengurusan jenazah, dipercayai mengaut untung kira-kira RM22,000 dalam tempoh dua tahun, sejak tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

Petugas kesihatan itu menerima habuan RM300 hingga RM400 bagi setiap jenazah daripada ejen mengikut jenis-jenis kematian.