'Siasatan kes Ebit di LGMS selepas polis dapat maklumat baharu'

Siti Nooraini ketika hadir ke Mahkamah Majistret Tenom sebagai saksi keempat pendakwaan.
Siti Nooraini ketika hadir ke Mahkamah Majistret Tenom sebagai saksi keempat pendakwaan.
A
A
A

TENOM - Saksi keempat, Asistan Superintendan Siti Nooraini Mohd Sahid memberitahu mahkamah bahawa siasatan lanjut kes berkaitan pendakwah terkenal, Ebit Lew dijalankan di syarikat LGMS selepas pihak polis menerima maklumat baharu.

Siti Nooraini berkata demikian ketika menjawab soalan pemeriksaan balas daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad ketika diminta menjelaskan jawapan beliau semasa disoal balas pihak pembelaan, Ram Singh dalam perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Majistret Tenom pada Khamis.

"Saya telah dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa siasatan lanjut bagi kes ini telah dijalankan apabila mendapat maklumat baharu," katanya.

Diminta menjelaskan apa maklumat baharu tersebut, Siti Nooraini menjelaskan, ia adalah laporan hasil analisis telefon bimbit daripada LGMS.

Ditanya lanjut mengenai soalan balas daripada Ram sebelum itu, Nor Azizah meminta Siti Nooraini menjelaskan maksud mengenai 'kami hanya mendapatkan dokumen berkenaan untuk tujuan analisa dan pihak forensik Bukit Aman'.

"Pihak kami mendapat dokumen berkenaan untuk tujuan analisa bagi membuat perbandingan dengan maklumat atau dokumen sedia ada dalam kes ini," katanya.

Merujuk kepada jawapan berkenaan, Noor Azizah turut meminta Siti Nooraini menjelaskan lebih lanjut mengenai dokumen berkenaan.

"Dokumen berkenaan adalah hasil laporan analisa daripada pihak LGMS dalam bentuk 'soft copy' seperti yang saya nyatakan di awal kenyataan saya," kata Siti Nooraini.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding sama, Siti Nooraini sekali lagi dirujuk soalan balas daripada pihak pembelaan yang menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju telah menganggu saksi berpotensi bagi pihak Ebit apabila merekod kenyataan Wai Shurong (kakitangan LGMS).

"Saya tidak bersetuju kerana sebagai pegawai polis saya hanya menjalankan tugas untuk merakam percakapan saksi.

"Saya juga pada bila-bila masa tidak ada menganggu saksi dalam kes itu yang merupakan saksi potensi bagi orang kena tuduh (OKT)," katanya.

Sebelum itu, Ebit, 37, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim diwakili barisan peguamnya, Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

Ebit berhadapan dengan berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.