'Ini rezeki saya'

Ahmad Syihan
Ahmad Syihan
A
A
A

PENJAGA gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi menganggap kejayaan menyelamatkan sepakan penalti Myanmar pada minit akhir perlawanan untuk memberikan kemenangan kepada skuad negara sebagai satu rezeki.

Menurutnya, kejayaannya menyelamatkan penalti selain tiga mata berharga yang berjaya diperoleh di laman lawan memberikan motivasi tinggi kepada Harimau Malaya untuk mengharungi perlawanan akan datang.

Dalam aksi di Stadium Thuwunna, Yangon itu, tonggak sensasi negara, Faisal Halim menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-52 untuk membolehkan skuad negara berada di hadapan.

Namun, menuju penghujung perlawanan, pengadil telah memberikan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah selepas pertahanan negara, Sharul Nazeem Zulpakar dipersalahkan kerana bola terkena tangannya di dalam kotak penalti.

Ahmad Syihan tampil sebagai wira menyelamatkan tendangan penalti Myat Kaung Khant untuk memastikan Harimau Malaya pulang dengan tiga mata dan motivasi tinggi untuk menghadapi perlawanan menentang Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

"Syihan hanya mampu katakan Alhamdulillah atas rezeki ini. Ini adalah rezeki kami sebagai satu pasukan. Syihan mahu berterima kasih kepada jurulatih, rakan sepasukan dan semua penyokong yang mendoakan Syihan.

"Perlawanan ini memang pembakar semangat pasukan dan saya minta semua penyokong Malaysia doakan kami pergi lebih jauh sehingga final," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam masa sama,Ahmad Syihan berikrar akan terus menampilkan persembahan terbaik sekali gus membantu pasukan mencipta keputusan positif dalam kempen AFF kali ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya memang mahu berikan segala yang saya ada, sama seperti pemain lain yang telah memberikan lebih daripada 100 peratus," katanya.