Kedah kenal pasti lapan cerun kritikal berbahaya

Gunung Keriang iaitu lokasi pendakian popular di Bandaraya Alor Setar berada di tahap tinggi dan berisiko.
Gunung Keriang iaitu lokasi pendakian popular di Bandaraya Alor Setar berada di tahap tinggi dan berisiko.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri mengenal pasti lapan lokasi cerun kritikal di Kedah yang berbahaya dan perlu diberi perhatian sewajarnya ataupun ditutup ketika musim tengkujuh.

Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, hasil pemantauan dan penilaian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati Gunung Keriang iaitu lokasi pendakian popular di Bandaraya Alor Setar berada di tahap tinggi dan berisiko.

Mohd Firdaus
Mohd Firdaus

Katanya, lokasi lain yang dikategori tahap tinggi ialah Sekolah Kebangsaan Meriam Kuala Muda, Sungai Petani dan Sekolah Kebangsaan Kilim, Langkawi.

"Empat kawasan lagi dikategorikan sebagai tahap sederhana iaitu Taman Kenari, Kulim, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Hwa, Kuala Muda, Jalan Ulu Melaka, Langkawi dan Taman Helang, Langkawi, manakala Kompleks Kraftangan, Langkawi pula dikategorikan sebagai tahap rendah," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Menurutnya, lokasi kategori bahaya itu perlu ditutup ataupun di pantau rapi supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku yang melibatkan orang ramai.

"Kawasan-kawasan kategori bahaya ini perlu ditutup ataupun tak perlu ditutup tapi kita boleh pantau kawasan itu dengan melihat kepada cuaca, kalau kata hujan yang tidak berhenti mungkin kita akan ambil tindakan," katanya.

Mohd Firdaus menambah, pihak JMG juga mengenal pasti beberapa lokasi Taman Eko Rimba (TER) di negeri ini yang berisiko untuk berlakunya kepala air.

Artikel Berkaitan:

"Kawasan terbabit adalah Titi Hayun di Yan, Tupah dan Seri Perigi di Kuala Muda, Puncak Janing di Padang Terap, Sungai Sedim di Kulim, Bukit Hijau dan Lata Bayu di Baling, Telaga Tujuh di Langkawi dan Bukit Wang di Kubang Pasu," katanya.

Selain itu katanya, terdapat juga kawasan lain yang berisiko tetapi pada tahap rendah antaranya di sepanjang jalan ke Puncak Jerai, sepanjang jalan Gunung Raya, Langkawi, Lebuh Raya Timur Barat, Baling dan Jalan Tanjung Jaga, Yan.

"Jadi sebelum benda itu berlaku kita di peringkat kerajaan negeri kita tengok dari semua aspek yang penting, bukan sahaja tentang tanah runtuh tetapi perlu tengok dari segi kepala air.

"Ini kerana kita ada banyak tempat pelancongan yang ada sungai, air terjun, ada kem dan lain-lain lagi, jadi semua itu kita kena tengok," katanya.

Mohd Firdaus berkata, semua agensi di dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah (JPBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Kedah perlu memantau kawasan-kawasan berisiko bencana dan melaporkan kepada jawatankuasa untuk tindakan susulan.

"JPBN juga mencadangkan kerajaan negeri untuk mengeluarkan arahan kepada semua pengunjung dan pelancong agar tidak melawati dan mengadakan sebarang aktiviti di tempat-tempat berisiko seperti yang dinyatakan mulai 20 Disember sehingga pertengahan Januari 2023.

"JPBN turut mencadangkan semua pemain industri pelancongan dan perniagaan di kawasan cerun dan TER mengurangkan atau menghentikan operasi buat sementara waktu sehingga pertengahan Januari 2023 atau sehingga keadaan cuaca bertambah baik," katanya.