7,872 hektar tanah kerajaan Perak diceroboh

Saarani ketika menjawab soalan lisan Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) berkaitan isu pencerobohan tanah di Perak sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu.
Saarani ketika menjawab soalan lisan Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) berkaitan isu pencerobohan tanah di Perak sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 7,872.71 hektar tanah kerajaan Perak telah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab untuk pelbagai aktiviti, setakat ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah itu adalah 0.38 peratus daripada keseluruhan 2,097,600 hektar keluasan tanah di negeri ini yang dicatatkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

"Aktiviti pertanian mencatatkan pencerobohan tertinggi iaitu sebanyak 7,307.59 hektar tanah.

"Sebanyak 400.09 hektar tanah pula dilapor digunakan secara tidak sah untuk aktiviti penternakan dan perusahaan manakala 165.03 hektar lagi digunakan untuk tujuan pembangunan kediaman iaitu petempatan setinggan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) berkaitan isu pencerobohan tanah di Perak sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu.

Saarani berkata, pihak berkuasa negeri telah mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Usaha Haram dan Setinggan Negeri Perak.

Katanya, jawatankuasa tersebut akan bersidang setiap suku tahun bagi memantau dan mengenal pasti aktiviti haram serta setinggan di atas tanah milik kerajaan negeri selain melaksanakan tindakan-tindakan punitif bagi membanteras aktiviti pencerobohan tanah daripada terus berleluasa.

"Terdapat juga dasar penyelesaian pendudukan setinggan kediaman di atas tanah kerajaan yang telah diluluskan dalam MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) bertarikh 10 November 2021 melalui beberapa kaedah pelupusan tanah seperti pemberi milikan tanah kerajaan, pajakan tanah rizab dan pemberian Lesen Pendudukan Sementara serta perlaksanaan penguatkuasaan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828).

Artikel Berkaitan:

"Dasar ini memperuntukkan tempoh pelaksanaan penyelesaian petempatan setinggan dalam tempoh 5 tahun," katanya.

Beliau memaklumkan, kerajaan negeri juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif tambahan dalam menyelesaikan isu penerokaan haram di atas tanah kerajaan antaranya pemutihan tanah melalui agensi.

Menurutnya, inisiatif berkenaan adalah untuk memberi milik tanah kerajaan yang diteroka dengan aktiviti pertanian dan penternakan kepada pihak agensi dan perbadanan negeri untuk dipajak sewa kepada peneroka-peneroka bagi membolehkan aktiviti mereka diteruskan seperti biasa.

"Analisis data menunjukkan dari tahun 2018 hingga 2021, sebanyak 5,959.74 hektar tanah kerajaan yang diteroka oleh peneroka haram telah diberi milik kepada pelbagai agensi dan perbadanan milik kerajaan.

"Daripada jumlah tersebut, 3,930.79 hektar telah disewa atau dipajak kepada peneroka tersebut, sejumlah 700.92 hektar telah dilaksanakan tindakan penguatkuasaan dan baki 1,328.03 hektar di dalam perancangan untuk pembangunan, penyewaan atau pajakan kepada peneroka haram," katanya.