ECRL beri manfaat kepada usahawan, kontraktor tempatan

Razali Idris
Razali Idris
A
A
A

MARANG - Keputusan kerajaan meneruskan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal memberi manfaat kepada usahawan dan kontraktor tempatan.

Senator Datuk Razali Idris menzahirkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan susulan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan projek ECRL.

Beliau berkata, pengumuman itu disambut baik seluruh warga Pantai Timur, khususnya rakyat Terengganu yang menyifatkan projek itu bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, enam stesen ECRL iaitu di Cukai, Kemasik, Dungun, Pengkalan Berangan, Kuala Terengganu dan Kampung Raja juga bakal dibina, sekali gus membuktikan negeri ini tidak dipinggirkan.

"Projek juga diteruskan dengan pengurangan sebanyak RM21.5 bilion berbanding RM65.5 bilion sebelum ini serta pertambahan kontraktor tempatan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus.

"Dengan izin ALLAH kita akan melihat banyak usahawan besar dan kecil terlibat serta merancakkan industri sampingan termasuk inap desa dan perniagaan runcit akan berkembang," katanya, di sini, hari ini.

Projek ECRL disambung semula susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Razali juga menyifatkan ketegasan perdana menteri membatalkan projek itu sebelum ini memaksa pihak terbabit untuk kembali semula ke meja rundingan seterusnya mengurangkan kos projek.

Artikel Berkaitan:

"Ini membuktikan keberanian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Malaysia kini terhindar dari perangkap hutang dan kos yang melambung hingga membebankan negara," katanya.