ATM diminta gerakkan aset bantu negeri dilanda banjir

Ahmad Zahid lawat PPS di Sekolah Rendah Kuala Besut Satu hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid lawat PPS di Sekolah Rendah Kuala Besut Satu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JERTEH - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memobilisasikan aset bersesuaian ke negeri Pantai Timur yang dilanda banjir.

Beliau berkata, ia bagi menyelesaikan masalah kelewatan dan kesulitan untuk menghantar bantuan serta bekalan kepada mangsa-mangsa banjir terutama yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Beberapa PPS mengalami kekurangan bekalan kerana kita mengalami kekurangan dari segi aset untuk logistik.

"ATM ada aset yang boleh dimobilisasikan, namun ia berada di Lembah Klang manakala kawasan yang ditimpa banjir ialah di Terengganu, Kelantan dan Pahang," katanya kepada pemberita selepas meninjau PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Besut dekat sini hari ini.

Justeru katanya, beliau akan meminta bantuan daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Panglima ATM agar aset-aset berkenaan dapat dipindahkan sementara ke negeri terbabit.

Semalam, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa memberitahu, kekurangan aset berat menjadi antara punca bantuan lambat sampai ke kawasan terputus hubungan akibat banjir di negeri ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya akan melihat keperluan untuk menyegerakan pembaikan infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir.

"Oleh kerana berlaku kerosakan jalan dan ada jambatan yang putus, saya yakin kor Tentera Darat boleh membantu (infrastruktur) dan jawatankuasa bencana pusat akan koordinasikan bantuan daripada Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara)," katanya.

Sementara itu, katanya, Kerajaan Persekutuan amat prihatin dengan bencana yang menimpa rakyat dan mengambil pendekatan menyalurkan bantuan tanpa mengira fahaman politik.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengambil ibrah atau pengajaran bahawa keutamaan kita adalah mangsa banjir, lupakan seketika semua warna-warna (parti politik) yang ada," katanya. - Bernama