Kerajaan jimat RM2 bilion jika tidak amal rundingan terus - Anwar

Anwar ketika membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) sempena Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. -Foto Bernama
Anwar ketika membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) sempena Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan dapat jimat sehingga RM2 bilion sekiranya projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) tidak dilakukan secara rundingan terus dengan pihak berkepentingan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, projek berkenaan sebelum ini telah diluluskan secara rundingan terus oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan nilai RM13.8 bilion walaupun ia bukan keperluan mendesak.

“Saya tahan (kelulusan kewangan) kerana rundingan (yang dibuat) dalam tempoh seminggu dua, kita boleh jimatkan hampir RM1 bilion, dan mengikut Kementerian Kewangan dari awal, sehingga proses rundingan tertakluk kepada beberapa tahap jadual kerja dan kadar pembayaran, (boleh jimat) sehingga RM2 bilion.

“Jadi kena faham kenapa saya berkeras tentang perkara ini, daripada RM15 bilion boleh dijimatkan hampir RM2 bilion kerana kita hentikan amalan runding terus.

“Kadang-kadang rundingan terus apabila disemak, (diberi kepada) syarikat menantu, syarikat anak, ini yang kita nak elakkan. Ini bukan kenyataan melulu, saya sebut di Parlimen setelah meneliti (dokumen),” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu Anwar berkata, 28 daripada 39 cadangan projek RTB yang dimohon KASA telah diluluskan secara rundingan terus dengan anggaran nilai hampir RM14 bilion atau lebih 90 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan.

Ahli Parlimen itu mendakwa, kelulusan berkenaan dibuat dalam tatakelola tergesa-gesa walaupun projek itu untuk jangka panjang sehingga 2030.

“Saya ingin tegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan ini tidak mempersoalkan kepentingan projek tebatan banjir. Yang saya gusar ialah, duit rakyat sebegini banyak, dibelanjakan dengan begitu mudah dan cepat sekali.

Artikel Berkaitan:

“Maka saya telah meminta Kementerian Kewangan untuk menilai semula proses perolehan yang dipercayai dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM2 bilion ringgit yang boleh diagihkan semula untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

KASA yang sebelum ini diterujui oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kini dikenali sebagai Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.