Kartel telur: Kena ada keberanian ubah dasar - PM

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan membiarkan pemain gergasi industri telur ayam menentukan harga dan pengeluaran mereka menjadi punca negara berdepan krisis kekurangan bekalan telur ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, disebabkan ‘lepas tangan’ itu, syarikat-syarikat besar tersebut bertindak sebagai kartel yang mengawal pasaran telur berkenaan.

Justeru katanya, Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dipimpinnya akan melihat isu tersebut secara serius dalam usaha untuk mengekang aktiviti kartel berkenaan.

“Masalah kita ini (krisis telur kerana) kartel. Kita meletakkan syarikat-syarikat (pengeluar telur) menentukan harga dan pengeluaran.

“(Selepas ini tidak boleh lagi) kita mesti ada kekuatan politik, tekad untuk menyatakan dalam dasar ekonomi ini kemaslahatan awam dan rakyat itu diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar dalam masa sama turut memaklumkan, kerajaan akan mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari bermula Khamis ini sebagai usaha menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan.

Ujarnya, jumlah import telur itu sudah bermula sejak 15 Disember lalu dengan permulaan kemasukan import sebanyak 100,000 biji telur.

Artikel Berkaitan:

"Maka kita sudah buat perubahan dengan memberikan import bermula pada 15 Disember, 100,000 biji telur (import) dan mulai 22 Disember (Khamis), dua hingga 10 juta biji telur sehari akan dibawa masuk sehingga keadaan stabil dan keupayaan pengeluaran tempatan terjamin," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, kementerian itu melaksanakan pelan jangka pendek dengan membawa masuk bekalan dari luar negara bagi menampung keperluan telur ayam dalam negara.

Malah Mohamad turut berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan bekalan dalam negara dengan kadar segera bagi memastikan keterjaminan telur ayam di pasaran