Lambakan produk luar ancam PMKS tempatan-Armizan

Armizan bercakap kepada pemberita selepas merasmikan tapak lot kedai di Kinarut, Papar pada Sabtu.
Armizan bercakap kepada pemberita selepas merasmikan tapak lot kedai di Kinarut, Papar pada Sabtu.
A
A
A

PAPAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menekankan kepentingan mengutamakan barangan tempatan susulan penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial (PLS).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, isu penyalahgunaan PLS dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet sejak dua minggu lalu dan beliau mencadangkan agar jawatankuasa khas itu turut menangani kebimbangan Perusahaan Mikro, kecil dan Sederhana (PMKS) mengenai lambakan barangan luar yang menjejaskan pasaran tempatan. 

Menurutnya, lambakan tersebut bukan sahaja melibatkan barangan import oleh pelabur asing, malah turut melibatkan pelabur tempatan yang memilih mengimport barangan luar kerana harga lebih murah, termasuk melalui platform e-dagang.

"Kita bimbang lambakan barangan dari luar ini bukan sahaja menjejaskan pasaran produk tempatan, tetapi juga melibatkan isu keselamatan, kualiti dan standard barangan berkenaan. 

"Isu ini bersifat besar dan komprehensif kerana ia melibatkan pelbagai kementerian, sebab itu jawatankuasa khas ini diwujudkan bagi menyelaras aspek perundangan, dasar, penguatkuasaan dan pemantauan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan tapak lot kedai di Kinarut di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penubuhan jawatankuasa khas tersebut yang turut menyentuh isu lambakan produk luar termasuk menerusi pasaran dalam talian.

Armizan menegaskan, KPDN komited untuk memberi kerjasama penuh dalam jawatankuasa tersebut, khususnya bagi memastikan pasaran tempatan kekal sihat dan mampan selaras dengan usaha mengutamakan penggunaan barangan tempatan.

Dalam pada itu, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar mencadangkan kerajaan negeri Sabah bersama Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MOTEC) meneliti secara lebih mendalam penglibatan pelabur luar dalam sektor pelancongan, khususnya di Semporna.

"Kita di KPDN melihat isu pasaran kemampanan dan kesihatan pasaran tempatan serta kepentingan mengutamakan barangan tempatan sebagai tanggungjawab utama dan berdasarkan laporan awal, terdapat 81 resort dan chalet di Semporna yang diusahakan sama ada secara kerjasama antara syarikat luar dan tempatan, dan sebahagian pula dimiliki sepenuhnya oleh pelabur luar.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengalu-alukan pelabur luar kerana mereka membawa rangkaian dan pelancong, tetapi perlu dilihat sejauh mana PMKS tempatan mendapat ruang dan bahagian yang adil dalam rantaian perniagaan tersebut. Jangan sampai keseluruhan rantaian perniagaan dari A hingga Z dikuasai pihak luar tanpa penglibatan PMKS tempatan, termasuk dari segi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan," tambahnya.

Justeru katanya, kajian, pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu perlu dilaksanakan, sambil berharap kerajaan negeri Sabah, khususnya Kementerian Pelancongan negeri, bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan dalam menangani isu berkenaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa lambakan produk bukan sahaja melibatkan barangan pengguna yang dijual secara dalam talian, malah turut melibatkan barangan industri seperti sektor pembinaan.

"Contohnya, pembelian barangan pengguna secara dalam talian yang kemudiannya dijual semula tanpa kawalan, selain barangan pembinaan termasuk peralatan kecil seperti pemutar skru yang diimport dari luar.

"Sedangkan di Malaysia terdapat industri tempatan yang mampu membekalkan produk berkualiti. Jika pasaran terus didominasi produk luar, kita bimbang industri tempatan akan terpaksa menutup operasi," ujarnya.

Beliau berkata, laporan penuh berkaitan isu tersebut akan dibentangkan oleh setiap kementerian terlibat dalam mesyuarat jawatankuasa khas berkenaan.

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menekankan pentingnya barangan tempatan
  • Jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menangani penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial dan isu lambakan barangan luar
  • Isu tersebut melibatkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kualiti barangan import yang menjejaskan pasaran tempatan
  • KPDN komited bekerjasama dalam jawatankuasa khas untuk memastikan pasaran tempatan kekal sihat dan mampan
  • Armizan mencadangkan kajian lebih mendalam mengenai penglibatan pelabur luar dalam sektor pelancongan, khususnya di Semporna

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!