Ipoh kawasan kediaman paling dicari pembeli pada 2022

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

[DIKEMAS KINI] IPOH meraih carian sebanyak 19.5 peratus di laman iProperty.com.my antara tempoh Januari dan November 2022, mengatasi lokasi utama seperti Petaling Jaya, Cheras dan Shah Alam untuk muncul sebagai kawasan yang paling dicari pembeli rumah di Malaysia.

Kawasan di luar Lembah Klang juga menjadi carian utama dalam kalangan pembeli rumah dan pelabur yang berpotensi untuk membeli semasa tempoh tersebut, kata iProperty dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tiga kawasan baharu yang memasuki senarai utama tahunan iProperty.com.my ialah Kuching, yang berada di kedudukan keenam dengan 7.6 peratus carian; Port Dickson (tempat ketujuh dengan 7.4 peratus carian) dan Seremban (tempat ke-10 dengan 6.4 peratus carian).

Bagaimanapun, iProperty berkata, lokasi carian seperti Petaling Jaya (tempat kedua, 13.7 peratus carian) Cheras (tempat ketiga, 11.6 peratus carian), Shah Alam (tempat kesembilan, 6.9 peratus carian) dan Johor Bahru (tempat keempat, 10.3 peratus carian) terus berada dalam senarai 10 teratas sejak 2018.

Pengarah Negara PropertyGuru Malaysia (yang memiliki PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my) Sheldon Fernandez berkata, pada 2022, lebih ramai orang yang menimbang mencari hartanah kediaman di kawasan yang terletak di luar Lembah Klang.

"Tahun ini, kita ada tiga lokasi yang tidak pernah kita lihat sebelum ini (Kuching, Port Dickson dan Seremban) memasuki senarai tahunan iProperty.com.my, menunjukkan bahawa pandemik telah menyebabkan ramai pengguna memikirkan semula di mana dan bagaimana mereka tinggal dan bekerja,” katanya.

Beliau berkata, trend bekerja dari jauh juga membolehkan pengguna memberi keutamaan kepada persekitaran yang lebih elok untuk didiami bagi membesarkan anak-anak, berdekatan dengan ahli keluarga dan menjaga kesihatan mental.

"Bagi tahun 2023, suatu yang menarik untuk dilihat sama ada hartanah kediaman di luar bandar utama dan kawasan pilihan yang padat penduduk akan terus menarik minat pembeli rumah,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: