Agong nasihat rakyat waspada bencana banjir

Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir yang berada di PPS SK Beserah, Kuantan pada Selasa.
Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir yang berada di PPS SK Beserah, Kuantan pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan agar seluruh rakyat terutama di kawasan terjejas banjir di Pahang, Kelantan dan Terengganu terus berwaspada dengan keadaan semasa bencana itu sepanjang musim tengkujuh ketika ini.

Seri Paduka Baginda bertitah agar penduduk terlibat dengan banjir peka dan akur dengan arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan.

"Pada masa sama, para ibu bapa juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga dan mengawasi anak-anak sepanjang tempoh bencana ini bagi mengelak kejadian tidak diingini," titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika ditemui selepas berkenan berangkat bagi melawat 226 mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah di sini pada Selasa.

Al-Sultan Abdullah meluangkan masa bertanyakan khabar mangsa banjir yang berada di PPS SK Beserah, Kuantan sempena keberangkatan Seri Paduka Baginda ke pusat pemindahan itu pada Selasa.
Al-Sultan Abdullah meluangkan masa bertanyakan khabar mangsa banjir yang berada di PPS SK Beserah, Kuantan sempena keberangkatan Seri Paduka Baginda ke pusat pemindahan itu pada Selasa.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah juga meminta agar semua PPS perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih termasuk ruang tandas.

Pada lawatan itu, Seri Paduka Baginda turut mengurniakan sumbangan kepada mangsa terlibat.

Artikel Berkaitan:

Al-Sultan Abdullah turut dijadualkan berangkat melawat mangsa banjir di beberapa PPS di daerah ini.

Sementara itu, rata-rata mangsa banjir yang ditemui mezahirkan ucapan terima kasih dan terharu atas keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap mangsa banjir termasuk di negeri ini.

Wan Norhairati Hamid
Wan Norhairati Hamid

Bagi mangsa banjir, Wan Norhairati Hamid, 49, dari Kampung Bugis di sini, dia gembira setelah diberitahu Yang di-Pertuan Agong akan berangkat melawat mangsa banjir di PPS SK Beserah dan beberapa PPS lain.

"Kami dapat tahu pagi tadi dan alhamdulillah Seri Paduka Baginda tiba di sini kira-kira jam 12 tengah hari untuk bertemu mangsa dan menghulurkan sumbangan.

"Selain membantu meringankan beban mangsa terlibat, keberangkatan Seri Paduka Baginda juga sedikit sebanyak mengubat kesedihan kami yang terkesan dengan bencana banjir kali ini," katanya.

Perasaan sama dikongsi Suhaili Ghazali, 39, dari Kampung Pelindung di sini yang berada di PPS itu sejak dua hari lalu.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Raja Pahang memang prihatin kepada rakyat terutama mangsa-mangsa bencana.

"Saya gembira dan sangat berterima kasih atas keprihatinan baginda berdua sudi hadir melawat dan menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di sini," katanya.