Cuaca panas: Lanjutkan cuti sekolah di kawasan terjejas

Gambar hiasan - Foto 123RF (Gambar kecil:Mohamad Ali)
Gambar hiasan - Foto 123RF (Gambar kecil:Mohamad Ali)
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mungkin boleh melanjutkan cuti persekolahan di negeri atau kawasan yang dikenal pasti mempunyai suhu panas kritikal.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, meskipun sesi persekolahan akan bermula minggu hadapan, tetapi bagi negeri utara dan Pantai Timur, sekolah-sekolah di kawasan berkenaan perlu dilanjutkan sehingga cuaca kembali normal.

Bagaimanapun katanya, keputusan melanjutkan cuti persekolahan itu perlu mendapat pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia)

“Langkah ini perlu bagi mengurangkan risiko yang ditanggung oleh kanak-kanak khususnya yang tidak tahan dan berisiko apabila terdedah dengan cuaca panas melampau,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan untuk melanjutkan cuti persekolahan berikutan fenomena haba panas yang melanda negara ketika ini sehingga menyebabkan dua kematian melibatkan kanak-kanak.

Dalam laporan Sinar Harian pada Jumaat, Jemaah Menteri akan berbincang sama ada terdapat keperluan melanjutkan cuti persekolahan sempena Hari Raya Aidilfitri susulan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai langkah telah diambil termasuk mengkordinasikan kerjasama pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri bagi membantu rakyat menghadapi fenomena berkenaan.

Mengulas lanjut Mohamad Ali berkata, suhu di kawasan bandar dan luar bandar berbeza dan cuti sekolah mungkin boleh dilanjutkan di kawasan benar-benar memerlukan.

“Kita tidak mahu pelajar terdedah dengan cuaca yang tidak menyihatkan termasuk kawasan yang mempunyai indeks pencemaran udara yang teruk.

“Jerebu juga mengancam kesihatan. Buat sementara waktu, guru boleh pantau suhu badan pelajar sebelum masuk dan ketika berada di sekolah, dengan itu kita boleh tapis tahap kesihatan pelajar sama ada perlu atau tidak dia datang ke sekolah.

Tambahnya lagi, jika didapati tidak sihat, pelajar tidak perlu hadir ke sekolah kerana jika tidak ia berisiko merebakkan jangkitan kepada pelajar lain,” tegas Mohamad Ali.