Tanah runtuh: 53 individu dirakam keterangan

Arjunaidi memeriksa perbarisan anggota polis wanita ketika Majlis Perasmian Balai Polis Semenyih baru di Semenyih hari ini. - Foto Bernama
Arjunaidi memeriksa perbarisan anggota polis wanita ketika Majlis Perasmian Balai Polis Semenyih baru di Semenyih hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEMENYIH - Polis telah merakam keterangan 53 individu bagi membantu siasatan berkaitan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali, Hulu Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polis mengambil keterangan daripada mangsa yang terselamat dan keluarga mereka, selain pengusaha dan dua pekerja tapak perkhemahan itu.

"Ada beberapa lagi individu yang akan dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Balai Polis Semenyih di sini pada Selasa.

Arjunaidi berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 304A iaitu menyebabkan kematian tanpa niat, Seksyen 290 Kanun Keseksaan menyebabkan kegusaran awam dan Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana menjalankan operasi tapak perkhemahan di lokasi projek pertanian tanpa lesen.

Menurutnya, polis turut menubuhkan pasukan khusus di Hospital Sungai Buloh bagi membantu menyalurkan maklumat berkaitan tragedi kepada keluarga dan mangsa.

“Pasukan itu dianggotai seorang pegawai berpangkat Asisten Komisioner dan dibantu lapan anggota yang bertugas pada setiap shif.

Pada Sabtu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya telah memanggil pengusaha tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dan dua pekerjanya bagi membantu siasatan berhubung tragedi tanah runtuh yang setakat ini telah mengorbankan 24 nyawa.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Jumaat lalu berkata, tapak perkhemahan berkenaan diusahakan tanpa lesen kebenaran beroperasi daripada Majlis Daerah Hulu Selangor.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian pada jam 2.42 pagi Jumaat lalu, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter telah menimpa tapak perkhemahan itu.

Operasi mencari dan menyelamat pada Selasa telah memasuki hari kelima dan setakat 11 pagi, sembilan mangsa masih hilang dan 61 orang selamat daripada keseluruhan 94 mangsa.