PM dijangka bentang bajet mini 2023 di Parlimen hari ini

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650 di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan peruntukan itu di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelaniaan Masuk Akaun) 2022 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

Akta berkenaan akan membenarkan perbelanjaaan dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi sebahagian tahun 2023 antaranya termasuk bagi tujuan pembayaran emolumen penjawat awam.

Ia susulan Rang Undang-Undang Perbekalan bagi tahun 2023 (Bajet 2023) tidak akan diluluskan Parlimen sebelum 1 Jan 2023, maka peruntukan perlu dikeluarkan untuk perbelanjaan dalam tahun 2023 bagi tempoh dari 1 Januari sehingga tarikh Rang Undang-Undang Perbekalan bagi 2023 menjadi undang-undang dan mula berkuat kuasa.

Sebelum ini Bajet 2023 yang disediakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat dibahas dan diluluskan, sebelum terbubarnya Parlimen pada 10 Oktober lepas.

Dalam pada itu, Anwar akan turut mencadangkan sejumlah RM55,959,213,200 dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi 2023 untuk perbelanjaan segera, sementara menunggu Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2023 diluluskan.

Perdana Menteri turut mencadangkan sejumlah RM31,834 juta baki wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) serta RM3,211 juta daripada Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) bagi tahun 2022 dipindahkan ke dalam Kumpulan Wang Pembangunan.

Beliau turut dijadual mencadangkan sejumlah RM16,200 juta baki wang MGII bagi 2022 dipindahkan ke Kumpulan Wang Covid-19 di bawah seksyen 3(1) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Seksyen 4(2) Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020. - Bernama

Artikel Berkaitan: