Taiwan-China berbalah isu 'operasi haram' TikTok

Syarikat subsidiari yang sedang disiasat itu adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 2018 dan menukar namanya kepada ByteDance Taiwan Ltd Co pada bulan lalu. - Foto: Agensi
Syarikat subsidiari yang sedang disiasat itu adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 2018 dan menukar namanya kepada ByteDance Taiwan Ltd Co pada bulan lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

SHANGHAI - Pemilik Tiktok pada Isnin menafikan ia menubuhkan syarikat subsidiari di Taiwan selepas pihak berkuasa di Taipei melancarkan siasatan ke atas aplikasi media sosial tersebut kerana didakwa menjalankan 'operasi haram'.

Majlis Hal Ehwal Tanah Besar (MAC), badan penggubal dasar tertinggi di Taiwan memaklumkan kabinet telah meminta siasatan melibatkan pelbagai agensi ketika mesyuarat berhubung isu risiko keselamatan TikTok pada awal bulan lalu.

Kes tersebut turut dirujuk kepada pendakwa raya selepas sebuah syarikat tempatan didakwa terlibat aktiviti perniagaan di Taipei bagi pihak ByteDance yang merupakan syarikat induk TikTok di China.

Di bawah undang-undang Taiwan, platform media sosial Beijing dilarang menjalankan operasi perniagaan di negara pulau tersebut kerana didakwa menyebarkan maklumat yang salah dan menjalankan kempen pengintipan.

"Laporan tentang penubuhan syarikat subsidiari itu adalah tidak tepat. Kami tidak pernah menubuhkan sebarang entiti tidak sah di Taipei," kata jurucakap ByteDance.

Laporan akhbar Liberty Times mendedahkan syarikat subsidiari yang sedang disiasat itu adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 2018 dan menukar namanya kepada ByteDance Taiwan Ltd Co pada bulan lalu.

Pada 2019, Taiwan meluluskan undang-undang antipenyusupan bagi mengekang cubaan Beijing untuk mempengaruhi proses politik dan demokrasi negara itu melalui dana haram yang disalurkan kepada ahli politik dan pihak media. - AFP

Artikel Berkaitan: