Atasi kemiskinan pesawah

No Image Caption
A
A
A

PESAWAH adalah tulang belakang yang telah mengusaha tanaman padi di negara ini bagi mengeluarkan sumber makanan utama kepada rakyat dan kita perlu mengakui bahawa mereka adalah antara aset penting negara.

Golongan ini telah sekian lama berpuluh tahun mengerah kudrat di tanah sawah membanting tulang demi menjamin keselamatan makanan negara, namun kehidupan mereka pula masih dihimpit dengan kemiskinan.

Keadaan ini menyaksikan kehidupan yang miskin itu diwarisi kepada generasi seterusnya dan bagi anak-anak muda pula mereka semakin lama mula menjauhi pekerjaan tersebut dengan alasan pendapatan yang tidak setimpal dan enggan lagi terus berada dalam kepompong sama.

Pelbagai masalah turut dihadapi oleh pesawah seperti isu bekalan benih padi tidak mencukupi dan kurang berkualiti.

Ditambah dengan masalah banjir, kekurangan bekalan air termasuk ancaman makhluk perosak setiap kali musim padi bermula.

Isu sekatan monopoli beras pada sidang media Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Disember lalu kembali mengamit perhatian kerana menyentuh tentang usaha untuk membantu pesawah miskin.

Menurut Anwar, kesediaan pemilik Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang juga tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary memberi balik RM10 juta pada bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan kepada petani disambut baik selepas satu perbincangan diadakan.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan Perdana Menteri hanya berani menegur Syed Mokhtar berbanding tokoh korporat terkaya di Malaysia yang lain kerana beliau Melayu dan mudah dibuli.

Artikel Berkaitan:

Namun Anwar pula menegaskan, apabila ada perniagaan yang melibatkan kepentingan rakyat miskin termasuk pesawah padi yang berada di Kedah merupakan orang Melayu paling miskin dalam negara, beliau perlu mengambil langkah sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk membantu golongan tersebut.

‘Perang mulut’ antara dua pemimpin ini sebenarnya kembali membuka mata semua pihak bahawa isu kemiskinan dalam kalangan pesawah tidak pernah habis malah bakal membawa kepada masalah besar jika isu ini terus berlarutan.

Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa kartel padi antara isu pokok yang perlu diperangi di semua peringkat bermula di peringkat akar umbi sehingga memproses padi di kilang.

Katanya, pesawah miskin kerana kitaran penghasilan padi dan industri padi telah dikawal oleh kartel-kartel besar sejak puluhan tahun lamanya.

Kartel padi membelit sistem, kaedah dan proses dalam industri penanaman padi dengan pelbagai pendekatan. Dari atas sampai bawah, daripada benih subsidi padi sampai ke timbangan dan potong basah di kilang, daripada traktor, jentuai hinggalah kepada lori, daripada input baja, racun, kuota benih dan variety, daripada ‘parit gila’ hingga ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFI), daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) hingga ke Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), semuanya berada dalam mulut naga, dakwa Muhammad Sanusi.

Menteri Besar Kedah itu mengajak Perdana Menteri agar turut sama turun ke bendang (sawah) dulu untuk mendengar sendiri rintihan pesawah sebelum mendengar pandangan daripada tauke-tauke dalam industri padi.

Para pesawah juga melalui badan bukan kerajaan (NGO) turut bersuara. Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) melihat kerajaan masih perlu memikirkan penyelesaian jangka panjang seperti menubuhkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) sebagai badan yang mengawal selia industri itu di negara ini di sebalik langkah tidak lagi mengizinkan monopoli import beras terus berlaku di negara ini.

Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue) pula memohon perhatian kerajaan untuk membantu pesawah dengan mengurangkan kadar pemotongan pemutuan padi yang melebihi 20 peratus.

Padi Rescue pernah menyuarakan kepada kerajaan pada 2016 kerana menurut mereka, pemotongan terhadap padi antara 22 hingga 24 peratus tidak wajar kerana kualiti beras hari ini semakin berkualiti.

Semua pihak sudah pun bersuara dan menyuarakan pendapat dan hasil pemerhatian masing-masing, kini sudah tiba masa untuk bekerja dan pihak berkuasa perlu membantu pesawah meningkatkan pendapatan dengan usaha memerangi kartel padi terlebih dahulu.

* Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor adalah wartawan Sinar Harian Kedah