Argentina tamatkan kemarau 36 tahun julang Piala Dunia

Pemain Argentina meraikan kemenangan menewaskan Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia. -Foto AFP
Pemain Argentina meraikan kemenangan menewaskan Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia. -Foto AFP
A
A
A

ARGENTINA akhirnya menamatkan kemarau 36 tahun untuk menjulang trofi Piala Dunia selepas menewaskan Perancis 4-2 menerusi penentuan penalti dalam perlawanan akhir penuh dramatik di Stadium Lusail, Doha pada Ahad.

Kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas tamat masa tambahan sekali gus menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti.

Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez muncul wira menyelamatkan sepakan Kingsley Coman manakala tendangan Aurelien Tchouameni tersasar untuk memastikan Skuad La Albiceleste mengulangi kejayaan menjulang Piala Dunia yang kali terakhir dilakukan mereka pada 1986.

Kemenangan itu juga menyaksikan kapten Argentina, Lionel Messi berjaya merangkul trofi tersebut yang belum pernah dimenangi dalam kariernya sebelum bersara daripada kancah kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.

Argentina nyata cukup bersedia berbanding Perancis yang juga penyandang juara dalam mengharungi perlawanan akhir tersebut apabila mendominasi perlawanan sejak wisel permulaan dibunyikan pengadil.

Gol pertama Argentina tiba pada minit ke-21 melalui sepakan penalti selepas Ousmane Dembele menjatuhkan Angel Di Maria.

Messi yang bertanggungjawab mengambil sepakan tersebut menggunakan segala pengalamannya untuk tenang menewaskan penjaga gol Perancis, Hugo Lloris.

Skuad kendalian Lionel Scaloni itu terus garang memburu gol dan berjaya menggandakan kedudukan menerusi serangan balas pantas yang disudahkan dengan cukup sempurna oleh Di Maria pada minit ke-36.

Artikel Berkaitan:

Bersambung babak kedua, Argentina terus menampilkan persembahan meyakinkan dengan beberapa siri serangan yang berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan pasukan Les Blues.

Berbaki 10 minit sebelum perlawanan tamat, Perancis menemui rentak yang dicari-cari selepas pengadil menghadiahkan penalti apabila Randal Kolo Muani dikasari pertahanan Argentina, Nicolas Otamendi dalam kotak penalti.

Penggempur sensasi Perancis, Kylian Mbappe tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut pada minit ke-80.

Mbappe terus menjadi duri dalam daging buat Argentina apabila menjaringkan gol penyamaan selang seminit kemudian selepas merembat deras hantaran daripada Thuram untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Messi kembali meletakkan Argentina di depan menerusi gol pada minit ke-108, namun Mbappe sekali lagi hadir meledak penalti kedua pada minit ke-118 sekali gus mencatat hatrik dan mengikat kedudukan 3-3 untuk membawa perlawanan ke penentuan penalti.